Lelaki didakwa perdaya doktor untuk dapatkan MC bagi gejala selesema
Seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa pada Isnin (12 Jul) kerana memperdaya seorang doktor untuk memberinya sijil cuti sakit (MC) bagi gejala seakan demam selesema.

Gambar fail seorang doktor. (Gambar: AFP/Joe Raedle)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa pada Isnin (12 Jul) kerana memperdaya seorang doktor untuk memberinya sijil cuti sakit (MC) bagi gejala seakan demam selesema.
Setelah memperoleh MC berkenaan, Muhammad Irshaad Abdul Mateen Lim Liang San didakwa keluar rumah setiap hari selama lima hari berikutnya. Ia berlaku semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" tahun lalu, apabila orang ramai dilarang keluar rumah bagi tujuan tidak penting.
Lim dikenakan lima dakwaan kerana meninggalkan rumahnya tanpa alasan yang munasabah dan satu tuduhan menipu.
Menurut dokumen mahkamah, Lim dituduh menipu Dr Ramana Narendran pada 12 Mei 2020, dengan memperdaya doktor tersebut hingga mempercayai bahawa dia mempunyai gejala seakan demam selesema untuk mendapatkan MC.
Selama lima hari berikutnya, Lim didakwa meninggalkan flatnya di Bukit Batok pada 12.22 pagi 13 Mei, 12.12 pagi pada 14 Mei, 12.28 pagi keesokan harinya, 6.55 petang pada 16 Mei dan pada 5.18 petang, 17 Mei.
Lim ditawar ikat jamin S$10,000 dan akan dihadapkan lagi di mahkamah pada bulan depan.
Jika disabit kesalahan meninggalkan rumahnya tanpa alasan yang munasabah, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda tidak lebih S$10,000, atau kedua-duanya.
Jika didapati bersalah kerana menipu, dia boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.