Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa pecah masuk bilik Hotel Orchard Rendezvous; curi telefon bimbit & dompet

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa pecah masuk bilik Hotel Orchard Rendezvous; curi telefon bimbit & dompet

Polis temui telefon bimbit dan dompet milik mangsa pada suspek. (Gambar: Pasukan Polis Singapura, Google Street View)

Diterbitkan : 23 Aug 2025 03:39PM Dikemas Kini : 23 Aug 2025 03:40PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 38 tahun didakwa pada Sabtu (23 Ogos) atas tuduhan pecah masuk dan mencuri.

Indra Fitry dituduh memecah masuk ke dalam sebuah bilik di Hotel Orchard Rendezvous untuk melakukan pencurian pada kira-kira pukul 3.12 pagi pada Khamis (21 Ogos).

Menurut kertas tuduhan, warga Singapura itu didakwa menyelinap masuk ke dalam bilik tersebut melalui tingkap untuk mencuri telefon bijak iPhone 16, dompet yang mengandungi 500,000 rupiah (S$39.56), sebuah kad ATM, lesen memandu Indonesia dan kad pengenalan.

Polis menerima dua aduan disyaki kes pecah masuk dan mencuri di Hotel Orchard Rendezvous antara Selasa dengan Khamis.

Pada Selasa, seorang mangsa melaporkan telefon bijaknya hilang daripada bilik hotelnya, sementara pada Khamis, seorang lagi mangsa melaporkan telefon bijak dan dompetnya hilang daripada bilik hotelnya.

Menerusi soal siasat orang awam dan dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis dapat mengenal pasti identiti suspek dan dia diberkas pada Khamis.

Telefon bijak dan dompet mangsa kedua ditemui padanya.

Indra direman dan diberi kebenaran untuk dibawa keluar bagi tujuan siasatan.

Bagi kesalahan memecah masuk rumah untuk melakukan jenayah, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan dikenakan sebatan.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita