Lelaki didakwa mencuri dalam penerbangan SIA; guna kad debit mangsa di Lapangan Terbang Changi
Seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai mencuri dompet penumpang dalam penerbangan ke Singapura dan menggunakan kad debitnya di Lapangan Terbang Changi didakwa di mahkamah pada Khamis (27 Mac) atas tuduhan mencuri dan menipu.
Dimas dan mangsa dalam penerbangan SIA dari Sydney ke Singapura saling mengenali satu sama lain. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)
Menurut kertas pertuduhan, Dimas Setiawan Joko dipercayai mencuri dompet ketika berada dalam penerbangan SQ242 Singapore Airlines (SIA) dari Sydney ke Singapura pada 15 Mac sekitar pukul 8.10 malam.
Dompet itu, milik seorang penumpang, mengandungi AS$122 (S$163), 427,000 rupiah Indonesia (S$34) dan kad debit, antara barangan lain.
Dimas kemudian menggunakan kad debit mangsa untuk membeli sebotol air S$2 di kedai makan di kawasan dewan keberangkatan Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada awal pagi 16 Mac.
Dia juga menggunakan kad itu untuk membeli coklat bernilai kira-kira S$90 di kedai Cocoa Tree di lapangan terbang tersebut. Ini termasuk beberapa kotak coklat "Merlion", seperti yang dipaparkan dalam kertas pertuduhan.
Dalam kenyataannya, polis pada Rabu turut mendedahkan bahawa mangsa telah menyimpan dompetnya di dalam beg tangannya dan menyimpannya di ruang kompartmen penumpang dalam penerbangan tersebut.
Mangsa kemudian menerima pemberitahuan mengenai urus niaga tanpa kebenaran pada aplikasi perbankannya dan dia segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Melalui siasatan yang dijalankan dengan bantuan rakaman CCTV, para pegawai polis lapangan terbang berjaya mengenal pasti identiti Dimas dan menahannya dalam masa sejam selepas menerima laporan itu.
Siasatan lanjut mendapati bahawa kedua-dua Dimas dan mangsa mengenali satu sama lain dan telah menggunakan ruang kompartmen yang sama untuk menyimpan barang-barang mereka semasa penerbangan.
Semasa dihadapkan ke mahkamah pada Khamis (27 Mac), warga Indonesia itu berkata dia berhasrat untuk mengaku bersalah dan tidak akan mendapatkan khidmat peguam.
Kesnya akan dibicarakan pada 10 Apr.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.