Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa langgar syarat SHN pergi ke kedai kopi Tampines, hadiri kelas Muay Thai

Seorang lelaki yang meninggalkan kediamannya beberapa kali semasa dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), termasuk untuk menghadiri kelas Muay Thai dan menjamu selera di kedai kopi, didakwa di mahkamah hari ini (19 Nov) atas kesalahannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa langgar syarat SHN pergi ke kedai kopi Tampines, hadiri kelas Muay Thai

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 19 Nov 2021 02:48PM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 02:52PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang meninggalkan kediamannya beberapa kali semasa dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), termasuk untuk menghadiri kelas Muay Thai dan menjamu selera di kedai kopi, didakwa di mahkamah hari ini (19 Nov) atas kesalahannya.

Lee Yi Sheng Daryl Paul, 32 tahun, melanggar syarat SHN sebanyak empat kali, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan media.

Warga Singapura itu juga berdepan pertuduhan tambahan didakwa merosakkan gelang elektronik yang diberikan kepadanya dan gagal memakai pelitup semasa meninggalkan tempat kediamannya.

Lee tiba di Singapura pada 29 Jun dan dikehendaki menjalani SHN di kediamannya. Dia juga diberikan alat pengesan elektronik dan gelang tangan untuk memantau pematuhan SHN, menurut ICA.

Bagaimanapun, Lee meninggalkan kediamannya pada keesokan harinya tanpa memakai pelitup untuk membeli makan malam di sebuah kedai kopi di Tampines.

Dia meninggalkan rumahnya sekali lagi pada 1 Julai, juga tanpa memakai pelitup, untuk menunggu rakan di tempat letak kereta bawah tanah kondominiumnya sebelum pulang ke rumah tidak lama kemudian.

Masih tanpa pelitup, Lee kemudian meninggalkan kediamannya sekali lagi untuk bertemu rakannya dan mereka terus makan tengah hari di sebuah kedai kopi di Tampines.

Kemudian pada hari yang sama, Lee meninggalkan rumahnya sekali lagi untuk menghadiri kelas Muay Thai di Tampines SAFRA.

Apabila dia pulang, seorang pegawai ICA sedang menunggunya sebagai sebahagian daripada pemeriksaan penguatkuasaan.

"Apabila disoal, Lee didakwa memaklumkan pegawai ICA itu bahawa dia ke gimnasium kondominiumnya," menurut pihak berkuasa.

Pada 2 Julai, Lee mendapat kelulusan untuk menjalani baki tempoh SHN-nya di sebuah hotel. Sebelum dia meninggalkan rumahnya, dia didakwa merosakkan tali gelang elektroniknya.

Apabila perkara ini dikesan oleh pegawai ICA semasa pemeriksaan penguatkuasaan, Lee berkata dia "secara tidak sengaja merosakkan" gelang tangan ketika dalam perjalanan ke hotel menaiki teksi.

SEORANG LELAKI LAIN DIDAKWA BUAT PENGISYTIHARAN PALSU

Dalam satu kes berasingan, seorang warga Singapura berusia 65 tahun juga didakwa hari ini kerana membuat pengisytiharan palsu untuk tidak jalani SHN di kemudahan khas.

Geramir Singh tiba di Lapangan Terbang Changi pada 27 Ogos, di mana dia mengisytiharkan bahawa dia akan tinggal di kediamannya secara bersendirian atau hanya dengan anggota seisi rumah yang mempunyai sejarah perjalanan yang sama.

"Beliau mengakui dan menandatangani borang fizikal pengisytiharan," menurut ICA.

Bagaimanapun, apabila pegawai penguat kuasa ICA menjalankan pemeriksaan di rumahnya pada 28 Ogos, mereka menjumpai orang lain yang tidak berkongsi sejarah perjalanan yang sama.

Mereka yang gagal mematuhi syarat SHN boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.

ICA mengingatkan orang ramai supaya mengemukakan "maklumat yang benar dan tepat" untuk semua pengisytiharan kesihatan, perjalanan dan notis jangan keluar rumah.

"Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati membuat pengakuan palsu," tambahnya.

Mereka yang membuat pengisytiharan palsu untuk cuba elak menjalani SHN di kemudahan khusus boleh didakwa atas kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

ICA menambah bahawa warga asing mungkin berdepan tindakan lanjut oleh ICA atau Kementerian Tenaga Manusia, seperti membatalkan atau memendekkan tempoh sah permit dan pas untuk kekal atau bekerja di Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita