Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didakwa langgar SHN COVID-19, dituduh makan malam dengan wanita

Lelaki 27 tahun itu dituduh keluar dari hotel SHN berkali-kali. Dalam satu kesempatan, dia sepatutnya ke IMH untuk konsultasi namun keluar bawa seorang wanita ke Orchard Road dan makan di restoran.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa langgar SHN COVID-19, dituduh makan malam dengan wanita

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 02:26PM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 02:27PM

SINGAPURA: Seorang lelaki 27 tahun didakwa di mahkamah hari ini (22 Okt) kerana mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan dengan melanggar notis Jangan Keluar Rumah (SHN) COVID-19 untuk bertemu seorang wanita untuk makan malam.

Ang Chenrui dituduh meninggalkan bilik hotelnya di JW Marriott Singapore South Beach sebanyak empat kali semasa notis SHN 14 hari.

Menurut kenyataan media oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Ang pulang ke Singapura pada 17 April tahun ini dan dikenakan notis jangan keluar rumah, mewajibkannya menetap di sebuah kemudahan khas sehingga 1 Mei.

Dia dibawa ke hotel setelah lepas imigresen, namun didakwa melanggar syarat SHN tiga hari kemudian.

Ang dituduh meninggalkan bilik hotelnya antara 8.50 pagi dengan 11.35 malam pada 20 April. Dia didakwa pergi ke Blok 416 Serangoon Central sebelum makan malam dengan wanita yang menyewa rumahnya. Mereka ke sebuah kedai kopi berhampiran untuk makan malam, dan kemudian ke pusat beli-belah NEX.

Keesokan harinya, Ang dituduh meninggalkan bilik hotelnya lagi dan duduk di kerusi yang diletakkan di sepanjang koridor umum. Pada 22 April, dia didakwa meninggalkan bilik hotelnya untuk ke lobi hotel di tingkat bawah. Pada kedua kesempatan tersebut, dia kembali ke bilik setelah pekerja hotel melihatnya, kata ICA.

Pada 24 April, Ang mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa bagi konsultasi di Institut Kesihatan Mental (IMH), menurut ICA.

Hotel itu mengaturkan pengangkutan khas untuk membawa Ang ke IMH, tetapi apabila dia sampai di sana, Ang tidak mendaftar untuk konsultasi, tambah ICA.

Sebaliknya, dia didakwa pulang dan berjumpa penyewa biliknya lagi. Mereka berdua pergi ke Orchard Road dan kemudian ke restoran berhampiran Stesen MRT Farrer Park, menurut kertas dakwaan. Selepas itu Ang dikatakan pulang lagi ke rumahnya.

"Pihak hotel kemudian mendapat tahu bahawa Ang belum mendaftar untuk konsultasi (di IMH) dan memaklumkan ICA mengenai kehilangan Ang," kata pihak berkuasa.

"Pegawai penguatkuasaan ICA kemudian menemui Ang di rumahnya. Ang kemudian dimasukkan ke IMH di mana dia menjalani baki notis jangan keluar rumah."

Perincian tentang kemasukan IMHnya pada April tidak didedahkan dalam kenyataan media ICA atau dokumen mahkamah.

Ang tidak direman dan ditawarkan jaminan S$10,000. Dia akan kembali di mahkamah pada Disember untuk mengaku bersalah.

Bagi setiap tuduhan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan, dia boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan