Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didakwa kerana ugut mahu cederakan Presiden Halimah; direman di IMH bagi penilaian perubatan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki, 32 tahun, didakwa di mahkamah pada Jumaat (5 Mei) kerana disyaki memuat naik hantaran di media sosial yang mengancam akan mencederakan Presiden Halimah Yacob.

Catatan oleh Vickreman Harvey Chettiar dipercayai dimuat naik apabila  dia dibebaskan dengan ikat jamin atas satu tuduhan yang bersangkut paut dengan perbuatan nakal dan dua lagi di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan. 

Menurut dokumen mahkamah, Vickreman kini berdepan dengan satu lagi tuduhan baru di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan kerana mengugut dengan niat untuk "menggunakan keganasan oleh seorang individu terhadap Presiden Singapura". 

Hantaran itu dipercayai dimuat naik ke akaun Instagram Vickreman pada 30 April sekitar pukul 7.00 pagi. 

Vickreman menulis dalam hantarannya bahawa Presiden Halimah Yacob "patut diheret keluar dari Istana Presiden oleh para patriot Singapura, dibawa berdekatan Bangunan Parlimen dan digantung pada tiang lampu 4F sampai mati". 

Semasa meninjau akaun media sosial Vickreman, Mediacorp tidak dapat mencari catatan asal yang mengandungi ugutan tersebut.

Namun, satu hantaran yang dimuat naik ke ciri 'highlight' Instagram dengan tajuk 'Lim Kopi' sekitar 2 Mei menunjukkan ugutan Vickreman terhadap Presiden Halimah bersebelahan satu lagi hantaran di mana dia membantah hukuman mati terhadap Tangaraju Suppiah - seorang lelaki warga Singapura yang dihukum mati pada 26 April kerana mengedar ganja. 

'Lim Kopi' adalah frasa bahasa Hokkien yang bermakna "minum kopi" dan lazimnya digunakan untuk merujuk kepada soal siasat oleh pihak polis. 

Sebelum Tangaraju dihukum mati, perhatian tertumpu kepada kes lelaki berusia 46 tahun itu, termasuk petisyen agar hukumannya ditangguhkan. 

Hartawan Britain, Richard Branson, mengutuk hukuman mati yang dikenakan terhadap Tangaraju, yang mendorong Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk membalas komen Encik Branson yang disifatkan sebagai "tidak menghormati" sistem keadilan jenayah dan hakim Singapura. 

Semasa perbicaraan pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Shaun Lim meminta ikat jamin Vickreman ditarik balik dan Vickreman direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk penilaian perubatan.

Vickreman akan dihadapkan ke mahkamah pada 19 Mei. 

Jika didapati bersalah kerana mengugut Presiden Halimah, dia boleh dikenakan denda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan