Lelaki didakwa kerana rosakkan poster kempen PAP di Hougang pada Hari Mengundi
Seorang lelaki berusia 57 tahun didakwa di mahkamah pada Jumaat (4 Jul) kerana mematahkan tiang bendera dan merosakkan poster kempen Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Hari Mengundi GE2025.
Seng Guan Heng, lelaki berusia 57 tahun yang didakwa kerana merosakkan poster kempen PAP di Hougang, tiba di Mahkamah Negara pada 4 Jul 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Seng Guan Heng dikenakan lima tuduhan: Perbuatan nakal, mengganggu dengan sengaja, menyebabkan kemarahan awam semasa mabuk dan dua tuduhan kekerasan jenayah.
Mengikut kertas pertuduhan, warga Singapura itu mematahkan tiang dua bendera PAP dan merosakkan lima poster bernilai kira-kira S$205 di tempat letak kereta terbuka di Blok 328, Hougang Avenue 5 sekitar pukul 11.20 malam pada 3 Mei.
Dia kemudian memaki hamun sekumpulan sukarelawan PAP, menggunakan kata-kata kasar dalam bahasa Hokkien dan menuding jari tengahnya ke arah mereka.
Seng juga dituduh menolak dua lelaki pada bahagian dada mereka, dan menjerit-jerit ketika mabuk di tempat letak kereta.
Dia hadir seorang diri di mahkamah pada Jumaat (4 Jul) dan berkata dia akan mengaku bersalah. Dia memberitahu seorang jurubahasa Mandarin bahawa dia perlu melakukan perjalanan ke luar negara atas urusan kerja, sambil memberikan tarikh perjalanan ke Vietnam dan Indonesia.
“Encik Seng, sebaik sahaja anda didakwa di mahkamah, anda tidak boleh melakukan perjalanan secara bebas, dan setiap kali anda melakukan perjalanan anda perlu membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan kebenaran, dan ia memerlukan peningkatan jumlah jaminan...ia bukan setakat memaklumkan (mahkamah),” kata hakim.
Kes itu ditangguhkan hingga Ogos untuk sebutan lanjut.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, calon PAP untuk SMC Hougang Marshall Lim berkata perkara itu sudah diserahkan kepada mahkamah, dan "kita harus membiarkan proses undang-undang berjalan lancar".
"Politik boleh dan harus melibatkan perdebatan dan advokasi, tetapi tidak ada tempat untuk keganasan dalam wacana kita. Marilah kita sentiasa ingat bahawa tanpa mengira apa sahaja pandangan politik kita, kita semua adalah warga Singapura," kata peguam itu.
"Perbezaan kita harus memberi inspirasi kepada dialog yang bermakna dan mencari titik persamaan, mencerminkan komitmen kita terhadap perpaduan dalam kepelbagaian."
Beliau memperoleh kelebihan undi 37.85 peratus di Hougang terhadap Encik Dennis Tan Lip Fong daripada Parti Pekerja (WP).
Jika didapati bersalah atas perbuatan nakal, Seng boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Jika sabit kesalahan mengganggu dengan sengaja, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Jika didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya sekali.
Hukuman kerana menyebabkan kemarahan awam semasa mabuk ialah hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$1,000, atau kedua-duanya bagi pesalah kali pertama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.