Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa kerana hasilkan 'kpod' di rumah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jul 2025 05:06PM Dikemas Kini : 17 Jul 2025 10:51PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 41 tahun didakwa atas tuduhan menghasilkan "kpod" di rumah.

Kpod adalah vape yang dicampur dengan dadah seperti ketamine atau etomidate. Mohammed Akil Abdul Rahim dikenakan lima pertuduhan tambahan pada Khamis (17 Jul), termasuk memiliki pengewap elektronik, atau vape, pod vape dan komponen lain.

Pada 11 Disember 2024, dia ditemui bersama ratusan barang tersebut di sebuah flat HDB di Blok 296B Yishun Street 22.

Antara barang yang ditemui ialah 569 sarung pod kosong, 1,485 penutup pod, 100 biji pod vape berasingan dan vape pakai buang.

Dia sebelum ini didakwa di bawah Akta Racun kerana menjual dan memiliki etomidate.

Dia dituduh menjual 100 pod vape di luar flat HDB yang sama sejurus selepas tengah malam pada 11 Disember 2024. Pod-pod tersebut kemudian dianalisis dan didapati mengandungi etomidate.

Sekitar jam 5.30 pagi pada hari yang sama, Akil didakwa ditemui bersama 26.4 gram serbuk putih yang mengandungi etomidate.

Menurut sistem mahkamah, Akil bercadang untuk mengaku bersalah.
Related article image
Pod vape kosong. (Gambar: HSA)
Awal tahun ini, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengatakan bahawa ia sedang memantau dengan teliti penggunaan vape untuk menghisap etomidate, sejenis anestetik yang bertindak pantas, yang digunakan dalam prosedur perubatan.

Sehingga 30 Jun, HSA sudah pun mengesan 28 kes melibatkan etomidate tahun ini.

Kesan buruk etomidate termasuk rasa loya dan muntah, pergerakan tidak terkawal atau kekejangan otot, perubahan pada pernafasan dan tekanan darah, serta sawan dan psikosis yang boleh membahayakan kesihatan.
Related article image
Etomidate dalam bentuk serbuk. (Gambar: HSA)
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita