Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa enggan berhenti bagi pemeriksaan polis, pandu lawan arus, langgar teksi

Seorang lelaki berusia 36 tahun akan didakwa di mahkamah pada Selasa (10 Feb) selepas didakwa enggan mematuhi arahan pegawai polis bagi pemeriksaan rutin dan kemudiannya memecut untuk melarikan diri.
Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa enggan berhenti bagi pemeriksaan polis, pandu lawan arus, langgar teksi
Seorang lelaki berusia 36 tahun didakwa enggan berhenti bagi pemeriksaan rutin pada 8 Februari 2026. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
Diterbitkan : 09 Feb 2026 11:53PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 36 tahun akan didakwa di mahkamah pada Selasa (10 Feb) selepas didakwa enggan mematuhi arahan pegawai polis bagi pemeriksaan rutin dan kemudiannya memecut untuk melarikan diri.

Menurut polis, lelaki itu diarahkan untuk berhenti oleh para pegawai untuk pemeriksaan rutin di Coleman Street pada Ahad pada pukul 1.50 pagi.

“Lelaki itu didakwa enggan mematuhi arahan para pegawai dan memecut secara berbahaya, membahayakan keselamatan para pegawai,” menurut polis dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut polis, lelaki tersebut memandu kenderaannya dalam keadaan melawan arus lalu lintas dan kemudian merempuh sebuah teksi sebelum terus memecut pergi.

Tiada kecederaan dilaporkan.

“Kenderaan itu kemudiannya ditemui ditinggalkan di Central Boulevard, di mana barangan yang dipercayai dadah terkawal ditemui,” menurut polis.

Lelaki itu diberkas pada hari yang sama.

Dia akan didakwa atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang seorang kakitangan awam daripada menjalankan tugasnya, memandu secara berbahaya, dan memandu setelah hilang kelayakan untuk berbuat demikian.

Siasatan terhadap kesalahan lalu lintas lain serta kesalahan berkaitan dadah yang disyaki masih dijalankan.

Polis menyatakan mereka memandang serius perbuatan individu yang menghalang kakitangan awam daripada menjalankan tugas mereka, serta pemandu yang memilih untuk melanggar undang-undang lalu lintas dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang secara terang-terangan mengabaikan undang-undang,” tambah polis.

Jika sabit kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang kakitangan awam daripada menjalankan tugas, suspek boleh berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang disabitkan kesalahan memandu secara berbahaya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah juga akan hilang kelayakan memandu bagi semua kelas kenderaan.

Bagi kesalahan memandu semasa hilang kelayakan untuk berbuat demikian, mereka yang disabitkan boleh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita