Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa edar Kpod, kes pertama seumpamanya di bawah undang-undang dadah baharu

Seorang lelaki didakwa pada Isnin (8 Sep) kerana memiliki pod yang mengandungi etomidate, atau Kpod, bagi tujuan pengedaran di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa edar Kpod, kes pertama seumpamanya di bawah undang-undang dadah baharu

Gambar fail Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa pada Isnin (8 Sep) kerana memiliki pod yang mengandungi etomidate, atau Kpod, bagi tujuan pengedaran di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Ia dipercayai pendakwaan pertama seumpamanya sejak etomidate – sejenis agen bius yang dikesan dalam vape – disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah pada 1 September, iaitu tarikh yang sama di mana hukuman lebih berat terhadap pengguna dan pembekal vape mula dikuatkuasakan.

Sebelum September, etomidate hanya disenaraikan sebagai racun, dengan penalti terhadap pengguna Kpod dikenakan sama ada di bawah Akta Racun atau Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan).

Derek Khor Boon Chun, seorang warga Singapura berusia 40 tahun, berdepan satu tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengedar dadah terkawal Kelas C dengan memiliki 43 pod yang mengandungi etomidate di sebuah tempat letak kereta di Blok 631, Ang Mo Kio Avenue 4, pada pukul 4.40 petang pada 6 September.

Kesalahan yang didakwa itu berlaku enam hari selepas undang-undang baharu berkuat kuasa.

Dia direman bagi tujuan siasatan dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 15 September.

Jika didapati bersalah di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, dia berdepan hukuman penjara minimum dua tahun dengan dua sebatan, dan penjara maksimum 10 tahun dengan lima sebatan.

Mediacorp sudah pun menghubungi Penguasa Sains Kesihatan (HSA), yang dinyatakan sebagai pihak berkuasa yang menguatkuasakan kesalahan itu dalam kertas tuduhan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita