Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa edar hampir 2,000 pod vape etomidate; rampasan terbesar sejak diklasifikasikan sebagai dadah Kelas C

Seorang lelaki berusia 30 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (22 Jan) kerana mengedar hampir 2,000 pod vape yang mengandungi etomidate.
Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa edar hampir 2,000 pod vape etomidate; rampasan terbesar sejak diklasifikasikan sebagai dadah Kelas C
Sebahagian daripada vape yang dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 20 Januari 2026. (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 30 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (22 Jan) kerana mengedar hampir 2,000 pod vape yang mengandungi etomidate.

Rampasan pod-pod tersebut dua hari sebelum itu merupakan yang terbesar oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sejak etomidate diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C, menurut HSA dalam satu kenyataan media pada Khamis (22 Jan).

Muhamad Khairuddin Abdullah sedang memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Selasa malam apabila para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menemui 1,989 pod vape yang disembunyikan di dalam dua kotak di ruang but keretanya.

Para pegawai menahan Khairuddin, yang ketika itu melakukan perjalanan dengan kereta sewa bersama ibunya yang berusia 63 tahun dan anak saudaranya yang berusia empat bulan, dan memaklumkan perkara itu kepada HSA.

HSA kemudian menjalankan serbuan pada hari yang sama di kediamannya, di mana para pegawai menemui tiga pod vape biasa.

Ujian makmal kemudian mengesahkan bahawa pod-pod vape yang dirampas di pusat pemeriksaan itu mengandungi etomidate.

Siasatan masih dijalankan, menurut HSA.

Kes Khairuddin ditangguhkan sehingga 5 Mac.

“HSA memandang serius terhadap kesalahan mengedarkan vape dan etomidate. Sejak rangka kerja hukuman dipertingkatkan yang dikuatkuasakan pada 1 September 2025, pengimport, penjual dan pengedar vape etomidate kini berdepan hukuman yang lebih berat,” tegas HSA.

Hukuman tersebut termasuk hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun serta lima hingga 15 sebatan bagi pengimport. Penjual dan pengedar pula boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun serta dua hingga lima sebatan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita