Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa di mahkamah bawa masuk 34kg tanduk badak sumbu ke S'pura dari Afrika Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa di mahkamah bawa masuk 34kg tanduk badak sumbu ke S'pura dari Afrika Selatan

(Gambar: Lembaga NParks)

Diterbitkan : 06 Oct 2022 11:45AM Dikemas Kini : 06 Oct 2022 11:48AM
SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa di mahkamah hari ini (6 Okt) atas kesalahan membawa 34.25 kilogram (kg) tanduk badak sumbu Afrika ke Singapura semasa dalam perjalanan ke Laos.

Warga Afrika Selatan, Gumede Sthembiso Joel, 32 tahun, dikenakan satu tuduhan di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport) Singapura dengan membawa tanduk-tanduk dari Johannesburg, Afrika Selatan, masuk ke Singapura tanpa permit eksport atau eksport semula, lesen, sijil atau keizinan bertulis yang sah oleh pihak berkuasa Afrika Selatan.

Gumede dipercayai membawa tanduk-tanduk tersebut bersamanya dari Johannesburg dan sedang melalukan persinggahan di Singapura semasa dalam perjalanan ke Vientiane, Laos sekitar tengah hari pada 4 Oktober tahun ini.
Hari ini, Gumede berkata dia tiada peguam buat masa ini dan berhasrat untuk "mengaku tidak bersalah". Gumede berkata dia tidak pasti sama ada dia boleh meminta dilepaskan dengan ikat jamin.

Pihak pendakwa berkata mereka akan memaklumkan kepada kedutaan Gumede mengenai kes tersebut. Dia diberikan ikat jamin S$40,000 dan akan kembali ke mahkamah pada 27 Oktober.

Menurut kenyataan sebelum ini oleh Lembaga Taman Negara (NParks), unit keselamatan dan K9 NParks mengesan dan memeriksa dua beg di Lapangan Terbang Changi. Mereka menjumpai 34kg tanduk badak sumbu, yang dianggarkan berharga sekitar S$1.2 juta.

Ini merupakan rampasan terbesar tanduk badak sumbu di Singapura setakat ini, tambah NParks.

Jika sabit kesalahan, Gumede boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita