Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didakwa dengan tuduhan bunuh di lobi lif blok HDB Yishun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jul 2024 12:02PM Dikemas Kini : 28 Jul 2024 10:53PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 49 tahun didakwa pada Ahad (28 Jul) atas pembunuhan seorang lelaki berusia 35 tahun di Blok 803 Yishun Ring Road.

Affendi Yusoff, seorang rakyat Singapura, dituduh menyebabkan kematian Fiqri Choo Iskandar di lobi lif tingkat 10 blok tersebut pada Sabtu pagi.

Meskipun kertas pertuduhan tersebut tidak memperincikan hubungan antara kedua-dua lelaki terbabit, siasatan awal mendedahkan mereka saling mengenali satu sama lain.

Kes tersebut ditetapkan untuk dibicarakan lanjut pada 2 Ogos. Kesalahan pembunuhan itu membawa kepada hukuman mati.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dihubungi berhubung kes tersebut kira-kira pukul 8.35 pagi pada Sabtu. Mangsa terbabit ditemui terbaring kaku dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Apabila Mediacorp tiba sejurus sebelum pukul 11.00 pagi, terdapat beberapa kenderaan polis kelihatan, dengan pasukan penyiasat tempat kejadian turut berada di lokasi itu.

Tingkat 10 blok tersebut dikepung sepenuhnya dan beberapa kesan darah kelihatan di lantai, dinding koridor dan tembok luar sebuah unit.

Sebelum mayat tersebut ditemui, penduduk menyatakan bahawa mereka terdengar berlakunya satu pertelingkahan serta suara jeritan.
Menurut seorang penduduk yang tinggal di tingkat 12 dari blok bertentangan, yang hanya ingin dikenali sebagai Jerry, beliau terdengar suara jeritan antara dua lelaki kira-kira pukul 8.00 pagi, sambil menyangka ia mungkin jirannya di tingkat bawah.

Beliau kemudian ternampak kereta-kereta polis apabila keluar untuk membeli sarapan pagi pada pukul 10.00 pagi.

Mediacorp difahamkan daripada jiran tetangga bahawa mangsa terbabit tinggal bersendirian di Blok 803 dan menjaga ibu saudaranya.

Seorang penduduk yang tinggal di tingkat enam pula, berkata dia sudah mengenali mangsa itu lebih 10 tahun sebagai jiran, meskipun mereka tidak rapat.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa kali terakhir beliau ternampak mangsa terbabit adalah pada Isnin apabila mereka bersembang dalam lif.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan