Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa dalam kes pertama memandu di bawah pengaruh etomidate

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa dalam kes pertama memandu di bawah pengaruh etomidate
Tiga vape yang ditemui pada lelaki berusia 31 tahun. (Gambar: SPF)
Diterbitkan : 18 Dec 2025 06:46PM Dikemas Kini : 18 Dec 2025 06:47PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (18 Dis) dalam kes pertama seorang pemandu menghadapi kesalahan trafik melibatkan penyalahgunaan etomidate.

Tung Jun Yu, seorang rakyat Singapura, dikenakan dua pertuduhan di bawah Akta Lalu lintas Jalan Raya kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan memandu secara berbahaya.

Pada 14 Julai, antara pukul 5.40 petang dengan 6.30 petang, Tung didakwa memandu keretanya melawan arah aliran trafik di Supreme Court Lane dan terus melalui persimpangan di lorong pusing kanan sahaja tanpa mengurangkan kelajuan.

Ini menyebabkan pelanggaran dengan kereta lain di sepanjang Bras Basah Road, menurut kertas pertuduhan.

Apabila ditanya jika dia ada apa-apa untuk dikatakan, Tung memberitahu mahkamah bahawa tiada. Dia belum diminta untuk menunjukkan sama ada dia akan mengaku bersalah.

Pihak polis sebelum ini berkata bahawa pegawai di tempat kejadian kemalangan kereta melihat Tung menunjukkan tanda-tanda terganggu. Pertuturannya tidak jelas, kelopak matanya kendur dan responsnya terhadap soalan-soalan tertangguh.

Dia juga dikatakan tidak dapat memberikan penjelasan yang jelas tentang bagaimana kemalangan itu berlaku.

Dia didapati negatif untuk alkohol dalam ujian analisis nafas, tetapi etomidate dikesan dalam darahnya dalam analisis susulan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Tiga alat vape dan satu paket rokok seludup ditemui dalam keretanya, kata pihak polis.
Related article image
Kereta rosak itu, yang dipandu oleh pesalah di bawah pengaruh etomidate, mengakibatkan perlanggaran di Bras Basah Road. (Gambar: SPF)
Tung masih bebas atas ikat jamin dan akan kembali ke mahkamah untuk persidangan pra-perbicaraan pada 8 Januari 2026.

Dia menghadapi enam pertuduhan lain yang semuanya berkaitan dengan dadah.

Dia dituduh memiliki methamphetamine, cannabis, nimetazepam (juga dikenali sebagai Erimin-5) dan kokain pada 8 Oktober 2024.

Pada tarikh yang sama, dia didakwa memiliki S$400 yang merupakan hasil daripada pengedaran dadah.

Etomidate diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C pada 1 September ketika Singapura meningkatkan usaha untuk membanteras vaping dan Kpods, atau pod vape yang mengandungi etomidate.

Kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah membawa denda antara S$2,000 hingga S$10,000, hukuman penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Kesalahan memandu secara berbahaya membawa denda maksimum S$5,000, hukuman penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Jika didapati bersalah, Tung juga mungkin dilarang memandu semua kelas kenderaan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita