Lelaki didakwa bunuh penyewa tinggal sebumbung dengannya di Redhill Close
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 59 tahun pada Sabtu (18 Mac) didakwa atas tuduhan membunuh seorang lelaki, 61 tahun, yang tinggal sebumbung dengannya.
Ng Boon Hong dituduh menyebabkan kematian mangsa di Blok 90 Redhill Close antara pukul 11.00 malam pada 15 Mac dengan pukul 2.00 pagi pada 16 Mac.
Tuduhan tersebut bagaimanapun tidak memberikan perincian bagaimana Ng dipercayai berbuat sedemikian.
Ng tampil di mahkamah daerah menerusi pautan video dari tempat dia ditahan reman dan mengikut prosiding menerusi jurubahasa Mandarin.
Hakim daerah mengarahkan agar Ng ditahan reman selama tiga minggu bagi pemeriksaan psikiatrik di pusat perubatan Kompleks Penjara Changi.
Ng akan kembali menghadap mahkamah pada 6 April.
Dalam satu kenyataan media, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan sekitar pukul 10.50 pagi Jumaat (17 Mac) mengenai kes pembunuhan di sebuah flat di Blok 90 Redhill Close.
Setibanya di tempat kejadian, para pegawai mendapati mangsa terbujur kaku dengan beberapa kecederaan di dalam unit tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Apabila Mediacorp mengunjungi tempat kejadian pada Jumaat, kesan kasut berdarah kelihatan di koridor di luar flat berkenaan dan berdekatan tangga.
Mediacorp difahamkan berlaku pertikaian antara kedua-dua penyewa rumah itu.
Jika didapati bersalah membunuh, Ng akan berdepan dengan hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.