Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa bunuh mangsa dengan kelar leher guna pisau pemotong daging di Tuas

Seorang lelaki berusia 25 tahun didakwa pada Isnin (31 Ogos) atas tuduhan membunuh seorang lelaki berusia 29 tahun di sebatang jalan raya di kawasan perindustrian Tuas pada hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa bunuh mangsa dengan kelar leher guna pisau pemotong daging di Tuas

Bangunan Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 31 Aug 2026 04:03PM
  • Muruganathan Kathirvel, warga India berusia 25 tahun, didakwa membunuh Raj Maheshkumar di kawasan perindustrian Tuas, Singapura.
  • Kejadian berlaku pada malam 29 Ogos, apabila mangsa ditemui tidak bergerak di jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
  • Polis berjaya memberkas Muruganathan dalam tempoh empat jam selepas insiden, dan siasatan awal mendapati kedua-duanya saling mengenali.
  • Muruganathan dijadualkan hadir semula ke mahkamah pada September dan berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan membunuh.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 25 tahun didakwa pada Isnin (31 Ogos) atas tuduhan membunuh seorang lelaki berusia 29 tahun di sebatang jalan raya di kawasan perindustrian Tuas pada hujung minggu lalu.

Muruganathan Kathirvel, seorang warga India, dituduh menyebabkan kematian Raj Maheshkumar dengan mengelar bahagian leher mangsa menggunakan pisau pemotong daging.

Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar 10.00 malam pada Sabtu (29 Ogos) di Tuas South Avenue 9.

Polis dalam kenyataan sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Tuas South Street 15 menghala ke Tuas South Avenue 14 sekitar 10.10 malam pada hari yang sama.

Setibanya di lokasi, para pegawai polis menemui mangsa terbaring tidak bergerak di atas jalan raya.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang paramedik.

Muruganathan diberkas dalam tempoh empat jam selepas kejadian.

Siasatan awal menunjukkan bahawa tertuduh dan mangsa saling mengenali.

Muruganathan dijadualkan kembali ke mahkamah pada September.

Jika sabit kesalahan membunuh, dia boleh dijatuhi hukuman mati.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita