Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didakwa bunuh isteri di Holiday Inn Express Katong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Sep 2023 12:58PM Dikemas Kini : 11 Sep 2023 11:59PM
SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa pada Isnin (11 Sep) kerana membunuh isterinya selepas mayat wanita itu ditemui di sebuah hotel di Katong.

Eshan Tharaka Koottage, 30 tahun, didakwa membunuh isterinya di Hotel Holiday Inn Express. Warga Sri Lanka itu diberi pertuduhan itu melalui pautan video di Mahkamah Negeri.

Pihak pendakwa memohon agar dia ditahan reman selama seminggu dengan kebenaran membawanya keluar untuk siasatan dan tinjauan semula di tempat kejadian.

Tertuduh meminta untuk bercakap dengan Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka untuk mendapatkan peguam dan meminta agar dia diberikan peguam.

Namun dia diberitahu dia tidak dapat berkomunikasi dengan sesiapa pun pada ketika ini.

Dia akan kembali ke mahkamah pada 18 Sep.

Menurut polis, tertuduh pergi ke Balai Polis Kejiranan Marine Parade pada Sabtu kira-kira jam 5.05 petang untuk memaklumkan para pegawai polis bahawa dia telah membunuh isterinya di hotel yang terletak bersebelahan pusat membeli-belah i12 Katong. Dia kemudian ditangkap.

Wanita berusia 32 tahun itu ditemui terbujur kaku dengan kesan dikelar di dalam bilik hotel ketika polis tiba. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui dalam bilik hotel berkenaan.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman mati.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan