Lelaki didakwa bunuh Felicia Teo ditahan reman sedang penyiasat kumpul lebih banyak bukti
Para penyiasat sedang dalam proses untuk mendapatkan lebih banyak bahan bukti berhubung tuduhan pembunuhan Cik Felicia Teo Wei Ling, mahkamah negara diberitahu pada Khamis (24 Dis).
SINGAPURA: Para penyiasat sedang dalam proses untuk mendapatkan lebih banyak bahan bukti berhubung tuduhan pembunuhan Cik Felicia Teo Wei Ling, mahkamah negara diberitahu pada Khamis (24 Dis).
Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee didakwa Khamis lalu atas pembunuhan Cik Teo, 19 tahun, 13 tahun selepas mangsa dilaporkan hilang oleh ibunya.
Ahmad Danial, yang hadir di mahkamah melalui pautan video dengan memakai kemeja warna merah, cermin mata berbingkai hitam dan berambut panjang, akan direman selama seminggu lagi sedang pihak pendakwaan mencari lebih banyak bukti mengenai tuduhan pembunuhan itu.
Kes ditangguh ke pagi 31 Disember.
Lelaki berusia 35 tahun itu diwakili oleh Encik Shashi Nathan, Cik Laura Yeo dan Cik Tania Chin dari Withers Khattarwong.
Encik Nathan memberitahu mahkamah bahawa mereka merancang untuk bertemu dengan Ahmad Danial sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.
Ahmad Danial dituduh melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Cik Felicia Teo Wei Ling antara 1.39 pagi dengan 7.20 pagi di sebuah flat di tingkat 10 Blok 19, Marine Terrace, pada 30 Jun 2007.
Dia dipercayai membunuh Cik Teo dengan rakan subahat Ragil Putra Setia Sukmarahjana, sekarang 32, yang kini tidak berada di Singapura. Polis sedang cuba mengesannya.
Cik Teo, yang sepatutnya berusia 32 tahun sekarang, dilaporkan hilang pada 3 Jul 2007 oleh ibunya.
Oleh kerana tiada fakta pada masa itu untuk mengaitkan kedua-dua lelaki itu dengan kehilangan Cik Teo, ia diklasifikasikan sebagai kes orang yang hilang dan warta polis dikeluarkan untuk mencarinya, kata polis sebelum ini.
Bagaimanapun, kes-kes orang yang hilang yang tidak diselesaikan dikaji semula secara berkala untuk petunjuk baru, tambah mereka.
Laporan yang dikaji semula itu tidak menemukan petunjuk baru sehingga kes itu dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah selepas kali terakhir dikaji semula pada Julai tahun ini sebagai sebahagian daripada proses yang dijalankan polis untuk kes-kes orang hilang yang sudah lama tidak diselesaikan.
Petunjuk baru ditemui apabila penyiasat mengesan barang-barang yang dipercayai milik Cik Teo semasa beliau dilaporkan hilang. Polis mengaitkan salah satu barang itu dengan Ahmad Danial.
Hukuman untuk kesalahan membunuh adalah hukuman mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.