Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa buat perisytiharan palsu dalam permohonan SHN

Seorang penduduk tetap Singapura didakwa hari ini (15 Okt) kerana membuat perisytiharan palsu dalam permohonannya untuk dikecualikan daripada menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) di sebuah kemudahan khusus.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa buat perisytiharan palsu dalam permohonan SHN

Gambar fail Terminal 3 Lapangan Terbang Changi (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 15 Oct 2021 12:04PM Dikemas Kini : 15 Oct 2021 12:09PM

SINGAPURA: Seorang penduduk tetap Singapura didakwa hari ini (15 Okt) kerana membuat perisytiharan palsu dalam permohonannya untuk dikecualikan daripada menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) di sebuah kemudahan khusus.

Lu Yi Yin, 48 tahun, tiba di Singapura pada 14 Julai lalu dan diberikan notis SHN sehingga 28 Julai, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Lu, yang berasal dari Taiwan, dipercayai mengisytiharkan dalam borang bahawa dia akan tinggal seorang diri di kediamannya atau bersama anggota keluarga lain yang mempunyai sejarah perjalanan dan tempoh notis SHN yang sama.

Apabila pegawai penguatkuasaan melakukan pemeriksaan di rumah Lu pada 15 Julai, ICA menyatakan mereka menemui lagi dua individu yang tinggal sebumbung dengannya.

Kedua-dua individu itu juga tidak mempunyai sejarah perjalanan yang sama dengan Lu.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, Lu boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

ICA mengingatkan orang awam supaya menyerahkan maklumat "jujur dan tepat" bagi semua perisytiharan berkaitan kesihatan, perjalanan dan SHN.

"Tindakan tegas penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang membuat perisytiharan palsu."

Pematuhan ketat terhadap peraturan SHN adalah kunci bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para penduduk kami, menurut ICA.

"Kesemua pelawat yang memilih untuk menjalani notis SHN di kediaman mereka mesti kekal di kediaman pada setiap masa," menurut ICA.

Pergerakan mereka akan dipantau menerusi alat pemantauan elektronik dan pemeriksaan fizikal secara rambang.

Para pelawat yang memasuki Singapura dari negara-negara atau daerah tertentu boleh menjalani notis SHN di rumah sendiri dan bukannya di kemudahan khusus.

Mereka yang pilih untuk berbuat demikian tidak boleh melakukan perjalanan ke negara-negara atau daerah lain dalam masa 14 hari berturut-turut sebelum memasuki Singapura.

Mereka juga perlu duduk di rumah seorang diri atau bersama anggota keluarga yang berkongsi sejarah perjalanan dan tempoh SHN yang sama.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita