Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa buat 1,035 panggilan telefon senyap kepada polis, direman di IMH

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa buat 1,035 panggilan telefon senyap kepada polis, direman di IMH

Petikan skrin daripada Google Street View Pusat Polis Kejiranan Yishun, yang menerima panggilan senyap paling banyak 425 kali.

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 13 May 2026 01:44PM
SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa pada Rabu (13 Mei) kerana membuat 1,035 panggilan telefon senyap ke talian hotline polis selama seminggu.

Foo Jia Hong, seorang warga Singapura berusia 37 tahun, diperintahkan untuk direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi pemeriksaan perubatan.

Foo dikenakan empat pertuduhan kerana menghalang seorang penjawat awam dalripada menjalankan tugas awam dan pertuduhan kelima kerana menggunakan maklumat peribadi orang lain untuk melakukan kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan, Foo membuat panggilan antara 21 April dengan 28 April tahun ini ke talian hotline balai polis kejiranan di Yishun, Bedok, Geylang dan Ang Mo Kio North.

Akibatnya, 19 ketua pasukan polis yang menyelia pengendalian kaunter polis terhalang daripada menjalankan tugas mereka, menurut pertuduhan tersebut.

Balai Polis Kejiranan Yishun menerima bilangan panggilan tertinggi iaitu sebanyak 425, menurut pertuduhan tersebut.

Foo juga dituduh menggunakan kad SIM yang didaftarkan kepada orang lain untuk membuat panggilan senyap itu.

Polis berkata dalam satu kenyataan bahawa pemanggil mengambil "langkah-langkah terperinci untuk menyelindungi identitinya" termasuk berdiam diri dan menggunakan nombor asing untuk membuat panggilan.

Pegawai dari Divisyen Polis Woodlands mengenal pasti identitinya dan menahannya pada 11 Mei.

Polis berkata mereka memandang serius individu yang membuat panggilan senyap atau palsu ke talian hotline polis untuk menghalang tugas mereka dan akan berusaha sedaya upaya untuk mengesan dan mendakwa mereka di mahkamah jika perlu.

Jika sabit kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas awam, Foo boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya.

Jika sabit kesalahan menggunakan kad SIM yang didaftarkan menggunakan maklumat orang lain untuk aktiviti jenayah, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita