Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa atas tuduhan miliki lebih 800 K-pod untuk dijual

Seorang lelaki yang dipercayai menjadi penghantar bagi e-vape haram K-pod, didakwa di mahkamah pada Jumaat (18 Jul) kerana memiliki lebih 800 pod yang mengandungi cecair vape untuk tujuan penjualan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa atas tuduhan miliki lebih 800 K-pod untuk dijual

Rokok elektronik yang mengandungi etomidate, juga dikenali sebagai “k-pod”, yang dirampas oleh HSA. (Gambar: Mediacorp)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 Jul 2025 02:10PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang dipercayai menjadi penghantar bagi e-vape haram K-pod, didakwa di mahkamah pada Jumaat (18 Jul) kerana memiliki lebih 800 pod yang mengandungi cecair vape untuk tujuan penjualan.

Chin Wei Liang, Jodan, 27 tahun, berdepan enam tuduhan – tiga atas kesalahan memiliki K-pod atau komponennya untuk dijual, dan tiga atas kesalahan memiliki barangan tersebut.

K-pod merujuk kepada pod yang mengandungi cecair vape bercampur etomidate, yang disifatkan oleh penjual online sebagai bahan yang tidak dapat dikesan menerusi ujian air kencing.

Etomidate diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun, dan pengimportan atau penjualannya memerlukan lesen.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan menghidu sedatif itu secara langsung ke dalam paru-paru boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kekejangan, masalah pernafasan dan sawan.

Chin diberkas HSA dalam satu operasi minggu lalu.

Menurut tuduhan yang dikemukakan pada Jumaat, Chin dituduh memiliki barangan berikut pada pukul 3.50 petang pada 10 Julai berhampiran Blok 189, Bishan Street 13: dua K-pod berperisa anggur jenama USDT bernilai S$140; 81 K-pod pelbagai perisa; 114 K-pod USDT pelbagai perisa; 53 K-pod Lucifer pelbagai perisa; 65 K-pod Beta XL pelbagai perisa; 63 K-pod dengan label "$"; 73 K-pod "Marbo"; 13 K-pod "VIP"; dan 341 K-pod "Zombie".

Chin juga dipercayai memiliki 24 vape tanpa pod untuk dijual.

Dia turut dituduh memiliki barangan berikut secara peribadi: tiga vape – salah satunya tanpa pod; kartrij dan produk berkaitan vape, serta sebuah kotak yang mengandungi 19 "Heetsticks" yang dinyatakan sebagai "produk tembakau berbahaya".

Pendakwa memohon supaya prosiding mahkamah ditangguhkan selama enam minggu bagi melengkapkan siasatan.

“Dalam kes ini, terdapat jumlah besar bagi barangan yang dipercayai K-pod dirampas daripada tertuduh.

"Ada kemungkinan tuduhan tambahan akan dikenakan,” kata pendakwa.

Semasa ditanya sama ada dia mempunyai penjamin, Chin yang tidak diwakili peguam berkata sepupunya hadir bersamanya di mahkamah.

Kes itu akan disambung pada Ogos.

Jika sabit kesalahan memiliki produk tembakau tiruan atau komponennya untuk dijual di bawah Akta (Kawalan Iklan dan Penjualan) Tembakau, Chin boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan memiliki barangan sedemikian bukan untuk tujuan penjualan, dia boleh didenda sehingga S$2,000 bagi setiap tuduhan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita