Skip to main content

Singapura

Lelaki didakwa atas tuduhan cuba bunuh wanita di Kallang Wave Mall

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa atas tuduhan cuba bunuh wanita di Kallang Wave Mall

Pusat beli-belah Kallang Wave Mall. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 15 Jul 2025 04:43PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun didakwa pada Selasa (15 Jul) dengan tuduhan cuba membunuh seorang wanita berusia 29 tahun di Kallang Wave Mall.

Chua Jing Yuan dituduh mengelar leher Cik Choong Wen Ting dan menikam dadanya dengan pisau di laluan pejalan kaki dalam pusat beli-belah itu sekitar pukul 1.20 pagi pada Isnin (14 Jul).

Menurut kertas pertuduhan, Chua dipercayai berbuat demikian dengan niat, dan dalam keadaan di mana jika ia menyebabkan kematian Cik Choong, maka dia akan disabit dengan kesalahan membunuh.

Polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Kallang Wave Mall pada pukul 1.25 pagi.

Siasatan awal mendapati bahawa seorang lelaki dipercayai menyerang seorang wanita dengan pisau.

Dia dilucutkan senjata dan ditahan oleh orang awam sebelum diberkas.

Wanita itu dibawa ke hospital untuk merawat kecederaannya dan kini berada dalam keadaan stabil.

Mediacorp difahamkan bahawa lelaki dan wanita itu tidak mempunyai sebarang kaitan.

Hukuman bagi kesalahan cuba membunuh sehingga boleh menyebabkan kecederaan pada seseorang adalah hukuman penjara seumur hidup dan sebatan rotan, atau hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan denda dan sebatan rotan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita