Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dibicara kerana pukul anak tiri hingga mati gara-gara belum tahu guna tandas

Seorang lelaki berusia 28 tahun dihadapkan ke mahkamah pada Selasa (2 Feb) kerana membunuh anak tiri perempuannya berusia empat tahun dengan memukulnya setelah dia membuang air kecil di luar mangkuk tandas.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dibicara kerana pukul anak tiri hingga mati gara-gara belum tahu guna tandas

Ilustrasi seorang kanak-kanak. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 02 Feb 2021 09:17PM Dikemas Kini : 02 Feb 2021 09:18PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 28 tahun dihadapkan ke mahkamah pada Selasa (2 Feb) kerana membunuh anak tiri perempuannya berusia empat tahun dengan memukulnya setelah dia membuang air kecil di luar mangkuk tandas.

Muhammad Salihin Ismail dituduh membunuh budak tersebut melalui dua insiden pada 1 Sep 2018, di mana dia berkali-kali memukulnya pada bahagian perut dan menendang perut budak itu dengan kuat semasa dia terbaring di lantai.

Budak perempuan itu mengalami pendarahan dalam perut yang mengakibatkan kematiannya sehari kemudian, menurut kertas pertuduhan.

Mahkamah diberitahu bahawa Salihin berkahwin dengan ibu mangsa, Syabilla Syamien Riyadi, pada Ogos 2016, ketika mangsa berusia dua tahun. Bapa mangsa adalah bekas pasangan Syabilla. Syabilla yang kini berusia 24 tahun ditahan dalam penjara atas sebab yang tidak didedahkan secara terbuka.

Mangsa menganggap Salihin sebagai ayahnya.

Salihin dan Syabilla mempunyai anak kembar lelaki dan keluarga lima beranak itu tinggal bersama di sebuah flat. Pasangan itu mula melatih mangsa menggunakan tandas untuk mempersiapkannya sebelum ke sekolah pada lewat Sep 2018.

Pada 1 Sep 2018, Syabilla pergi bekerja pada pagi itu, meninggalkan Salihin di rumah bersama mangsa dan anak kembar mereka.

Mengikut kes pendakwaan, Salihin ternampak air kencing di luar tandas pada sekitar 10.00 pagi dan menyedari bahawa mangsa sudah membuang air kecil di sana. Naik berang, dia memanggil mangsa dan meletakkannya di mangkuk tandas, di mana dia dipercayai berkali-kali memukul perut mangsa dengan buku limanya.

Pada lewat hari yang sama, budak perempuan tersebut mahu ke tandas. Salihin menyuruhnya pergi ke tandas sendiri dan dia berbuat demikian. Setelah budak itu keluar dari tandas, Salihin ternampak air kencing di lantai di hadapan mangkuk tandas.

Dia terus naik berang dan bertanya budak itu mengenai air kencing tersebut, sebelum menolaknya ke lantai. Salihin juga dipercayai telah menendang perut mangsa sekurang-kurangnya dua kali.

Budak itu mula menangis tetapi Salihin meletakkannya di mangkuk tandas sebelum berkali-kali memukulnya di perut dengan buku limanya, menurut pihak pendakwa.

Pada malam itu, Syabilla pulang ke rumah dari kerja bersama hidangan makan malam, tetapi anaknya berkata bahawa perutnya berasa sakit selepas makan beberapa suap nasi. Apabila dia muntah di sofa, Salihin dan Syabilla menyapu minyak pada perutnya.

Antara 1.00 pagi hingga 8.00 pagi pada 2 Sep 2018, mangsa berkali-kali muntah. Salihin membawa mangsa ke tandas pada sekitar 8.00 pagi di mana dia cuba muntah tetapi sukar untuk melakukannya.

Salihin kemudian menggunakan jari telunjuknya untuk "menolongnya muntah", menurut dokumen mahkamah. Budak perempuan itu muntah lalu pengsan. Salihin mengangkatnya keluar dari tandas dan memberitahu Syabilla supaya menghubungi ambulans.

Apabila pasukan paramedik tiba pada 9.17 pagi, para pegawai mendapati nadi budak perempuan itu tidak berdenyut dan tidak bernafas. Dua anggota paramedik daripada Hope Ambulance memberi keterangan pada Selasa (2 Feb) yang mengatakan bahawa tangan dan kaki budak itu kaku.

Ibunya menangis dan tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan, kata salah seorang paramedik. Rakan kerjanya menambah bahawa beliau kemudian ternampak lebam pada muka budak itu.

Budak itu dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada 10.12 pagi pada hari tersebut.

Pihak hospital melaporkan kematiannya kepada polis dan Salihin diberkas sehari kemudian menyusuli siasatan awal.

Tertuduh mengaku dalam keterangannya kepada pihak polis pada 3 Sep 2018 bahawa dia sengaja menyasarkan perut mangsa kerana ingin "mengajarnya" selepas "mempunyai banyak masalah kencing atau membuang air besar".

Bedah siasat yang dijalankan mendapati bahawa budak itu mati akibat darah dalam rongga peritoneum yang berlaku akibat trauma menggunakan bahan tumpul pada bahagian perutnya. Patologi trauma itu sejajar dengan "kecederaan yang tidak disengajakan pada seorang kanak-kanak kecil", menurut pihak pendakwa.

Pakar psikiatri pihak pendakwa memeriksa Salihin dan mendapati dia tidak mengalami sebarang gangguan atau penyakit mental tetapi doktor daripada peguam bela mendapati dia mengalami Kecelaruan Eksplosif Selangan (IED) ketika itu.

Perbicaraan akan diteruskan pada Rabu (3 Feb) dengan Syabilla dijangka memberikan keterangannya.

Jika didapati bersalah kerana membunuh, Salihin boleh dikenakan hukuman mati, dipenjara seumur hidup dengan hukuman sebat. 

Sumber : CNA/NJ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan