Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dibicara kerana bunuh rakan sewa flat di Teck Whye

 Seorang lelaki didakwa pada Selasa (16 Feb) kerana membunuh rakan sewanya dengan menikam jantung lelaki itu menggunakan sebilah pisau selepas pertengkaran dipercayai angkara wang.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dibicara kerana bunuh rakan sewa flat di Teck Whye

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 16 Feb 2021 02:26PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 02:28PM

SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa pada Selasa (16 Feb) kerana membunuh rakan sewanya dengan menikam jantung lelaki itu menggunakan sebilah pisau selepas pertengkaran dipercayai angkara wang.

Mohammad Rosli Abdul Rahim, 51 tahun, dituduh membunuh Mohammad Roslan Zaini, 35 tahun pada kira-kira pukul 4.30 pagi pada 16 Ogos 2017 di flat sewa yang mereka kongsi di Blok 165A Teck Whye Crescent.

Menurut pihak pendakwa, Rosli menikam dada Encik Roslan menggunakan pisau, menembusi tulang dada dan menyebabkan luka tikaman sedalam 13 sentimeter, menyusuli pertengkaran mengenai sewa dan bil api air.

Encik Roslan juga dipercayai menghina ibu Rosli dan memutuskan hubungan dengan seorang wanita yang dianggap Rosli sebagai saudara perempuannya.

Setelah ditikam, Encik Roslan menghadapi kesukaran turun tangga sebelum rebah di kawasan rumput di hadapan blok berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Yang Ziliang dan Zhou Yang memberitahu mahkamah dalam kenyataan pembukaan mereka bahawa Rosli tiada tempat tinggal pada lewat 2016 dan tidur di kolong-kolong blok di Bukit Batok.

Dia kemudian beralih dan tidur di luar flat milik seorang kenalannya di Blok 165A Teck Whye Crescent. Tidak lama kemudian, Encik Roslan menghampiri Rosli lalu mencadangkan bahawa mereka menyewa bersama flat Encik Roslan.

Mereka mendaftarkan nama sebagai penyewa bersama di Lembaga Perumahan dan Pembangunan dan bersetuju untuk membahagikan sewa bulanan.

Meskipun dia mempunyai rumah, Rosli mula mengesyaki pada Ogos 2017 bahawa Encik Roslan mengenakan bayaran berlebihan bagi bahagian sewa bulanannya.

Pada masa yang sama, Encik Roslan juga memutuskan hubungan dengan seorang wanita yang sudah bersuami, yang Rosli anggap sebagai saudara perempuannya dan sudah kenali selama lebih daripada 10 tahun.

Hubungan itu menjadi keruh selepas wanita itu mengalami patah lutut tetapi Encik Roslan tidak membawanya ke hospital. Sebaliknya, suami wanita itu yang menjaganya.

Apabila Rosli melawat wanita itu, beliau mengadu kepadanya tentang rasa tidak puas hatinya bersama rakan serumahnya itu. Rosli kemudian beritahu wanita itu bahawa dia berasa tidak puas hati mengenai hal sewa dan mahu berhenti berkongsi flat itu bersama Encik Roslan.

PAGI KEJADIAN

Pada kira-kira pukul 1.00 pagi pada 16 Ogos 2017, beberapa tetamu datang ke flat Rosli dan Encik Roslan untuk menonton filem. Namun, Encik Roslan mula bertengkar dengan Rosli pada kira-kira pukul 4.00 pagi.

Mereka bertengkar mengenai bayaran sewa rumah dan bil api air ketika dua daripada tetamu itu masih berada dalam flat. Dalam keadaan marah, Rosli berjalan ke dapur lalu mengambil sebilah pisau dapur sepanjang 17 sentimer, kata pendakwa Encik Yang.

Dia dipercayai berjalan ke ruang tamu lalu menikam Encik Roslan dengan begitu kuat sehingga pisau itu menembusi tulang dada dan jantungnya.

Encik Roslan cuba melindungi dirinya daripada serangan itu, kata Encik Yang, namun turut mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian lengan dan pahanya. Kedua-dua tetamu itu melarikan diri daripada unit berkenaan lalu bersembunyi di ruang tangga dan di sebuah lagi flat.

Encik Roslan turun tangga setinggi empat tingkat sebelum beliau rebah di kawasan rumput di hadapan blok berkenaan.

Seorang pemandu bas yang dalam perjalanan ke tempat kerja melihatnya dalam keadaan berlumuran darah sebelum beliau rebah di atas rumput.

Pihak pendakwaan akan memulakan prosiding dengan bukti daripda 56 saksi dalam perbicaraan, manakala Rosli diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Encik Anand Nalachandran.

Jika didapati bersalah kerana membunuh, Rosli boleh dikenakan hukuman gantung atau dipenjara seumur hidup. Dia tidak boleh disebat kerana dia berusia 51 tahun.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan