Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki diberkas, tumbuk pemandu bas kerana diminta pakai pelitup

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas, tumbuk pemandu bas kerana diminta pakai pelitup

Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), mengunjungi pemandu bas tersebut pada 14 November 2022, yang diserang oleh seorang penumpang. (Gambar: Facebook/Melvin Yong)

SINGAPURA: Seorang lelaki diberkas pada Ahad (13 Nov) malam selepas menumbuk seorang pemandu bas apabila diminta memakai pelitup.

Lelaki tersebut, yang menaiki bas 154 di Sims Avenue dekat dengan Geylang Serai, enggan mematuhi arahan pemandu bas tersebut.

Demikian menurut Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Melvin Yong dalam satu catatan di Facebook.

"Sedang kapten bas tersebut melaporkan insiden berkenaan kepada pusat operasi, seorang penumpang memberitahu(nya) bahawa penyerang tersebut memutuskan untuk memakai pelitup," tulis Encik Yong.

Kapten bas tersebut pun meneruskan perjalanan.

Sebaik mereka tiba di pusat pertukaran bas, lelaki tersebut menghampiri kapten bas tersebut lalu menumbuk mukanya, kata Encik Yong. Dua penumpang yang masih berada di bas tersebut, menahan lelaki itu sehingga polis tiba.

Kapten bas tersebut, Encik Adip, mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Besar Changi (CGH) kerana hidung berdarah dan kini sedang berehat di rumah, menurut SBS Transit pada Isnin (14 Nov).

Encik Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, mengunjungi Encik Adip pada Isnin, bersama dengan beberapa pemimpin kesatuan sekerja.

SBS menyatakan pihaknya akan terus menghulurkan bantuan kepada Encik Adip sedang beliau pulih, termasuk membantunya mengambil tindakan undang-undang.

Encik Yong menambah beliau memberi jaminan kepada Encik Adip bahawa "pihak kesatuan akan bekerja rapat dengan SBS untuk menampung perbelanjaan perubatan dan cuti sakitnya."

Tambah beliau, Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) "mengutuk keras sebarang tindakan ganas dan jenayah terhadap pekerja pengangkutan awam".

"Tindakan sedemikian tidak boleh diterima dan pihak kesatuan akan bekerja rapat dengan polis untuk memastikan penyerangnya di bawa ke muka pengadilan."

SBS Transit menambah: "Kami semestinya rasa marah akan tindakan ganas terhadap kapten bas kami yang tidak boleh diterima dan mesti dihentikan.

"Kami akan memastikan keadilan hukum ditegakkan.Ini termasuk menyokong penuh mana-mana kakitangan kami yang ingin memfailkan tindakan sivil termasuk membiyai kos guaman sepenuhnya."
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan