Lelaki diberkas setelah tikam wanita di Hougang
(Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Seorang lelaki diberkas pada Selasa (10 Dis) selepas seorang wanita ditikam di sebuah kedai di Hougang.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Blok 210 Hougang Street 21 sekitar pukul 11.05 pagi.
Tiga orang dikejarkan ke hospital termasuk penyerang.
Suspek diberkas di tempat kejadian.
"Dia ditemui dengan beberapa kecederaan dalam serangan itu dan dihantarkan ke hospital," menurut polis menerusi satu kenyataan media.
"Siasatan awal mendedahkan bahawa kesemua individu mengenali satu sama lain."
Lelaki itu akan didakwa pada Khamis (14 Dis) atas tuduhan membunuh, iaitu kesalahan yang membawa hukuman mati.
Apabila Mediacorp tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 1.50 tengah hari, sebahagian kolong blok tersebut sudah dikepung, menjejas beberapa cawangan runcit termasuk sebuah kedai buah, kedai emas dan kedai perkakasan.
Sekurang-kurangnya sembilan kereta polis dilihat di tempat yang dikepung itu.
Seorang penolong kedai di kedai buah tersebut memberitahu Mediacorp beliau masuk ke kedai perkakasan itu selepas mendengar bunyi orang bergaduh.
Menurutnya, seorang lelaki, dalam lingkungan usia 30 tahun, menikam seorang wanita sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan kali selepas pukul 11.00 pagi.
Tambahnya, mangsa sudah bekerja di kedai tersebut dalam setahun atau dua tahun lamanya.
Seorang lagi pekerja cuba campur tangan tetapi mengalami kecederaan, kata penolong kedai buah itu.
Seorang lagi saksi yangh bergegas ke tempat kejadian bersama seorang rakan setelah mendengar apa yang berlaku berkata beliau diberitahu seorang lelaki mengambil pisau dari kedai perkakasan tersebut dan menikam seorang wanita yang bekerja di sana.
Seorang lelaki yang bekerja di sana tetapi enggan didedahkan namanya berkata beliau melihat ambulans tiba kira-kira pukul 12.00 tengah hari.
Kepungan polis dibuka sekitar jam 5.10 petang. Tiga pekerja bersarung tangan dilihat sedang membersihkan kedai, termasuk kawasan di belakang kaunter.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.