Lelaki diberkas selepas rempuh pembahagi jalan, langgar bendul di Race Course Road
Seorang lelaki berusia 39 tahun diberkas selepas merempuh pembahagi jalan dan melanggar bendul jalan di sebelah Hospital Farrer Park, menurut polis pada Khamis (3 Jul).
Petikan skrin video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta putih merempuh pembahagi jalan di Race Course Road pada 29 Jun 2025.
Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 29 Jun lalu sekitar pukul 11.05 malam melibatkan sebuah kereta "yang dipercayai terbabas di Race Course Road menghala ke Tessensohn Road".
Rakaman video kejadian yang tular online menunjukkan sebuah kereta SUV berwarna putih di pembahagi jalan di Race Course Road, dengan sebahagian daripada besi penghadang pembahagi jalan itu tercampak di atas jalan raya.
Roda sebelah kanan bahagian depan kereta itu kelihatan berputar sebelum kereta itu mengundur lalu merempuh pembahagi jalan tersebut sekali lagi.
Kereta itu mengundur ke seberang jalan raya tersebut namun terlanggar bendul jalan.
Ia hanya berhenti selepas melintasi laluan pejalan kaki, dan nyaris merempuh sebatang pokok dan satu lagi penghadang jalan dan beberapa basikal.
"Seorang pemandu lelaki berusia 39 tahun diberkas kerana memandu dalam keadaan mabuk atau selepas mengambil dadah", menurut polis.
Tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan polis masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.