Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki diberkas selepas pegawai polis diheret ke jalan raya sewaktu pemeriksaan

Seorang lelaki berusia 35 tahun diberkas selepas memandu terus kenderaannya semasa satu arahan berhenti menyebabkan seorang pegawai polis diheret ke jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas selepas pegawai polis diheret ke jalan raya sewaktu pemeriksaan

Petikan skrin kawasan Geylang Road.

Diterbitkan : 14 Nov 2018 10:40AM Dikemas Kini : 14 Nov 2018 10:43AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 35 tahun diberkas selepas memandu terus kenderaannya semasa satu arahan berhenti, menyebabkan seorang pegawai polis diheret ke jalan raya.

Lelaki itu diberkas atas tindakan terburu-buru yang membahayakan nyawa seorang pegawai polis. Dia juga disyaki mengedar dadah, menurut polis dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (14 Nov).

Dalam insiden yang berlaku pada sekitar 2.50 petang kelmarin (12 Nov), lelaki itu diarahkan supaya berhenti oleh seorang pegawai polis trafik semasa memandu di Geylang Road. Ini selepas dia didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Semasa pemeriksaan itu, suspek tiba-tiba memecut dan pegawai tersebut diheret sekitar 50 meter sebelum jatuh ke laluan jalan raya," menurut polis.

Pegawai polis itu mengalami beberapa luka dan keretakan pada buku lali kirinya. Beliau dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Polis kemudian mengesan kereta suspek pada sekitar 5.10 petang pada hari yang sama (12 Nov). Ia ditemui di sebuah tempat letak kereta di Toa Payoh Lorong 4.

Lelaki itu berjaya diberkas pada pukul 2.15 pagi semalam (13 Nov) di Jalan Loyang Besar. Dadah dan bahan berkaitan dadah ditemui pada dirinya turut dirampas oleh Biro Narkotik Pusat (CNB).

Lelaki itu akan didakwa hari ini (14 Nov) atas tuduhan mengedar dadah di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah. Siasatan terhadap kes tindakan terburu-buru yang membahayakan nyawa seorang pegawai polis sedang dijalankan.

"Pihak polis tidak boleh menerima tindakan berani seperti ini yang mengancam keselamatan para pegawai dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terang-terangan tidak mempedulikan undang-undang," menurut polis.

Pada masa yang sama, pihak polis juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang tampil untuk membantu pegawai polis trafik yang cedera itu.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan