Lelaki diberkas selepas botol kaca dilempar ke arah bas di Orchard Road
Seorang lelaki berusia 38 tahun diberkas berhubung kejadian di Orchard Road, di mana sebuah botol kaca dibaling ke arah sebuah bas yang sedang bergerak pada hujung minggu lalu.
Gambar komposit menunjukkan bas yang terlibat dalam kejadian itu dan botol yang dipercayai dilempar. (Gambar fail: Xiaohongshu/是cc啊, SPF)
Polis menyatakan pada Selasa (8 Jul) bahawa lelaki itu diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes perbuatan terburu-buru menyebabkan kecederaan.
Satu panggilan meminta bantuan di Orchard Road dibuat kira-kira pukul 6.50 petang pada 5 Julai.
Polis menyatakan siasatan awal mendapati lelaki itu didakwa membaling botol kaca itu ke arah tingkap bas dari laluan pejalan kaki.
Kesan itu menyebabkan tingkap bas berkenaan pecah lalu mencederakan seorang penumpang bas wanita berusia 57 tahun.
Polis menyatakan identiti suspek dikenal pasti menerusi siasatan susulan dan dia diberkas pada Selasa.
"Seorang remaja berusia 18 tahun yang bersama lelaki itu juga sedang membantu dalam siasatan," polis menambah.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Rabu (9 Jul) atas tindakan terburu-buru hingga menyebabkan kecederaan.
Hukuman bagi kesalahan melakukan tindakan terburu-buru hingga menyebabkan kecederaan adalah hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
KEJADIAN YANG BERLAKU
Penumpang wanita itu menaiki khidmat bas nombor 190, yang dalam perjalanan di Orchard Road pada kira-kira pukul 6.45 petang pada 5 Julai lalu, menurut timbalan pengarah urusan SMRT Buses Vincent Gay.
Menyusuli kejadian itu, kapten bas menghentikan kenderaan lalu memeriksa keadaan para penumpang, katanya, sambil menambah mereka yang terjejas dipindahkan dengan selamat ke bas yang lain untuk meneruskan dengan perjalanan mereka.
Gambar kejadian tersebut yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan sebuah bas dua tingkat diletakkan di luar bangunan The Heeren dengan tingkapnya di tingkat atas pecah.
Sebuah lubang juga dapat dilihat pada tingkap tersebut.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam (SCDF) menyatakan wanita yang cedera itu dibawa ke Raffles Hospital dalam keadaan sedar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.