Lelaki diberkas menyamar jadi doktor AS dalam penipuan cinta Internet
Seorang lelaki berusia 23 tahun ditangkap pada Isnin (4 Okt) kerana disyaki terlibat dalam satu penipuan cinta Internet di mana dia didakwa berpura-pura menjadi seorang doktor yang menetap di Amerika Syarikat, menurut polis.

Seorang pegawai polis memberkas seorang suspek. (Gambar fail: Hanidah Amin)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditangkap pada Isnin (4 Okt) kerana disyaki terlibat dalam satu penipuan cinta Internet di mana dia didakwa berpura-pura menjadi seorang doktor yang menetap di Amerika Syarikat, menurut polis.
Polis menerima satu aduan pada Januari tahun lalu oleh seorang wanita yang berkata beliau adalah mangsa penipuan cinta Internet.
Mangsa berkawan dengan seorang lelaki, yang mendakwa dirinya seorang doktor yang tinggal di Amerika Syarikat, menurut polis dalam satu kenyataan media pada Rabu.
"Doktor berkenaan didakwa memberitahu mangsa dia akan menghantarkan bungkusan kepadanya kerana dia berhasrat untuk berpindah ke Singapura," menurut polis.
Tidak lama kemudian, wanita itu menerima panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali. Individu itu memberitahu wanita tersebut bahawa bungkusan itu ditahan di Malaysia dan beliau perlu membayar wang bagi melepaskannya untuk penghantaran.
Mangsa kemudian membuat dua pemindahan dana bernilai sehingga S$15,000 ke dalam akaun bank tempatan lelaki berkenaan.
Berdasarkan siasatan susulan, identiti lelaki itu dikenal pasti dan dia diberkas pada Isnin.
Dia akan didakwa di mahkamah pada Khamis atas dua tuduhan mengambil kesempatan daripada kelakuan jenayah. Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi S$500,000 atau kedua-duanya sekali.
"Polis memandang serius terhadap sesiapa yang mungkin terlibat dalam penipuan dan pelaku akan dihukum mengikut undang-undang," menurut polis.
"Untuk mengelakkan diri daripada menjadi rakan subahat jenayah, masyarakat dinasihatkan supaya menolak permintaan oleh orang lain untuk menggunakan akaun bank atau talian telefon kerana mereka akan dipertanggunjawabkan sekiranya ia terkait dengan jenayah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.