Skip to main content

Singapura

Lelaki diberkas kerana serang bapa pemain susuli perlawanan Liga Belia Singapura antara Albirex-Geylang International

Seorang lelaki berusia 46 tahun telah diberkas kerana dipercayai menyerang seorang lelaki selepas perlawanan Liga Belia Singapura antara Albirex Niigata dan Geylang International pada Ahad (11 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas kerana serang bapa pemain susuli perlawanan Liga Belia Singapura antara Albirex-Geylang International

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 13 May 2025 02:56PM Dikemas Kini : 13 May 2025 02:58PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 46 tahun telah diberkas kerana dipercayai menyerang seorang lelaki selepas perlawanan Liga Belia Singapura antara Albirex Niigata dan Geylang International pada Ahad (11 Mei).

Liga Belia Singapura menyatakan dalam catatan Facebooknya bahawa insiden itu berlaku selepas perlawanan Bawah 14 Tahun di Sekolah Menengah Sengkang ketika kedua-dua pasukan sedang keluar dari lokasi perlawanan.

Menurut Albirex, mangsa "diserang dengan kerusi lipat" selepas perlawanan berakhir. Mangsa mengalami lebam dan luka teruk berhampiran lesung mata kirinya.

Mangsa berusia 51 tahun, yang merupakan bapa kepada salah seorang pemain bola sepak remaja, dibawa ke hospital dan dibenarkan pulang ke rumah pada sebelah malam.

"Kami berhubung rapat dengan mangsa. Dia semakin beransur pulih dan daya penglihatannya semakin bertambah baik. Dia juga telah membuat aduan polis sejurus selepas serangan itu," menurut Albirex dalam satu kenyataan di Facebook.

Lelaki berusia 46 tahun itu diberkas selepas polis menerima panggilan meminta bantuan di sekolah berkenaan pada sekitar pukul 7.15 malam. Siasatan polis sedang dijalankan.

Geylang menewaskan Albirex 8-0 pada malam itu.

Albirex menyatakan: "Pihak kelab mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan agresif terhadap pemain, jurulatih, ibu bapa dan penyokong kami, dan komited untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk semua."

Menurut Albirex, ia akan terus menyokong bapa yang terjejas itu, sambil menambah bahawa ia tidak akan mengeluarkan sebarang komen kerana perkara itu sudah diserahkan kepada pihak polis.

Geylang menyatakan bahawa ia sedang menjalankan "semakan dalaman menyeluruh" dan bekerjasama dengan jawatankuasa Liga Belia Singapura dan pihak berkuasa.

“Walaupun kami faham terdapat emosi dan ketegangan yang memuncak semasa perlawanan berlangsung, kami tidak akan menyokong sebarang bentuk keganasan atau tingkah laku yang tidak wajar – di dalam atau luar padang.

"Kami menggesa semua orang supaya mengelak daripada membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan secara online kerana siasatan sedang dijalankan," dedah kelab itu dalam catatan Facebooknya pada Isnin (12 Mei).
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita