Skip to main content

Singapura

Lelaki diberkas jual barang mewah tiruan di Carousell

 Seorang lelaki berumur 29 tahun diberkas kerana didakwa terlibat dalam satu kes penipuan melibatkan penjualan barangan mewah tiruan, menurut polis pada Isnin (13 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas jual barang mewah tiruan di Carousell

Barang mewah tiruan yang dirampas oleh polis dalam satu serbuan pada 12 Dis 2021. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 13 Dec 2021 11:29PM Dikemas Kini : 13 Dec 2021 11:31PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berumur 29 tahun diberkas kerana didakwa terlibat dalam satu kes penipuan melibatkan penjualan barangan mewah tiruan, menurut polis pada Isnin (13 Dis).

Polis dimaklumkan tentang kegiatannya yang disyaki itu pada 27 Ogos lalu apabila ia menerima aduan daripada seorang mangsa yang mendakwa diperdaya untuk membeli sebuah beg mewah tiruan oleh seorang penjual dalam talian di Carousell.

"Penjual itu mendakwa beg mewah itu tulen sewaktu mereka berurus niaga,' menurut polis dalam satu kenyataan media.

Polis kemudian menerima maklumat lanjut daripada mangsa tersebut pada 9 Disember yang mendakwa penjual yang sama juga dikatakan menggunakan akaun Carousell lain untuk menjual barangan mewah tiruan.

Para pegawai dari Divisyen Polis Woodlands menjalankan satu operasi dan berjaya menangkap lelaki itu pada 12 Disember.

Semasa melancarkan serbuan, polis merampas barangan mewah tiruan termasuk beg, kasut dan barang kemas serta wang tunai bernilai sehingga S$4,050.

Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai terbabit dalam kes-kes lain yang serupa.

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Selasa atas tuduhan menipu. Mereka yang didapati bersalah kerana melakukan penipuan boleh dihukum penjara 10 tahun dan didenda.

Polis menasihatkan anggota masyarakat agar membuat pembelian hanya daripada penjual yang sah atau sumber-sumber yang diyakini, terutama jika ia melibatkan barangan yang bernilai tinggi.

Anggota masyarakat juga dinasihatkan supaya melindungi diri dengan menggunakan pilihan pembayaran yang hanya akan melepaskan pembayaran kepada penjual sejurus selepas penghantaran dilakukan.

"Seberapa boleh, elak daripada membuat pembayaran awal atau pindahan dana bank secara langsung kepada penjual kerana kaedah ini tidak menawarkan sebarang perlindungan," nasihat polis.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita