Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki diberkas hentak teksi guna topi keledar sekalipun bayi di dalamnya

Seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas pada Selasa (12 Okt) selepas dia didakwa menggunakan topi keledarnya untuk menghentak sebuah teksi yang membawa beberapa orang penumpang, termasuk seorang bayi. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas hentak teksi guna topi keledar sekalipun bayi di dalamnya

Seorang lelaki diberkas setelah didakwa mengehntak teksi menggunakan topi keledar motosikalnya. (Gambar: ROADS.sg/Facebook)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 10:43PM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 10:44PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas pada Selasa (12 Okt) selepas dia didakwa menggunakan topi keledarnya untuk menghentak sebuah teksi yang membawa beberapa orang penumpang, termasuk seorang bayi.

Menurut polis pada Selasa, pihaknya dimaklumkan tentang seorang lelaki yang "meremukkan" sebuah teksi di Blok 804B Keat Hong Close di Choa Chu Kang sekitar pukul 6.10 petang pada Ahad lalu.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai bersemuka dengan pemandu teksi berkenaan berhubung satu pertikaian lalu lintas," menurut polis.

Lelaki itu disyaki menggunakan topi keledarnya untuk menghentak teksi berkenaan, menyebabkan kerosakan pada kenderaan tersebut.

Pemandu berkenaan dan para penumpang di dalam teksinya tidak cedera.

Tindakan lelaki tersebut dirakam dalam video yang disaksikan secara meluas melalui laman Facebook, ROADS.sg. Video itu menunjukkan cermin pandang sisi teksi itu hampir tertanggal akibat insiden tersebut.

Polis menyatakan pihaknya sudahpun mengenal pasti identiti lelaki itu melalui siasatan susulannya.

Lelaki itu akan didakwa pada Khamis kerana melakukan tindakan melulu. Dia juga akan disiasat bagi perbuatan nakal, menggunakan tingkah laku yang mengancam dan gagal memakai pelitup ketika berada di tempat awam.

Jika didapati bersalah kerana melakukan tindakan melulu, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duannya sekali.

Bagi kesalahan atas perbuatan nakal, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda. Kerana bertingkah laku yang bersifat mengancam, lelaki itu boleh didenda sehingga S$5,000.

"Polis tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan ganas seumpama itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang secara terang-terangan mengabaikan undang-undang," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan