Skip to main content

Singapura

Lelaki diberkas hambur kata-kata kesat, cakar pegawai polis di Lapangan Terbang Changi

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas hambur kata-kata kesat, cakar pegawai polis di Lapangan Terbang Changi

Orang ramai melambai kepada ahli keluarga di luar dewan keberangkatan di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 14 Mac 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 07 Oct 2025 07:44AM Dikemas Kini : 07 Oct 2025 07:46AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 28 tahun akan didakwa di mahkamah pada Selasa (7 Okt) kerana dipercayai melemparkan kata-kata kesat kepada pegawai polis di Lapangan Terbang Changi dan mencakar salah seorang daripada mereka.

Warga Kanada itu ditahan selepas insiden pada Ahad pagi.

Kira-kira pukul 9.20 pagi, polis dimaklumkan mengenai seorang lelaki yang didakwa mabuk dan menimbulkan kekacauan di kawasan keberangkatan awam Terminal 1.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu didakwa berulang kali melemparkan kata-kata kesat terhadap pegawai polis bantuan bertugas selepas diarahkan untuk mengemukakan dan meletakkan pas masuknya di atas pasportnya," menurut polis dalam kenyataan media.

Dia didakwa mengabaikan arahan tersebut dan berlalu pergi walaupun diberi amaran berulang kali untuk berhenti.

Apabila pegawai dari Divisyen Polis Lapangan Terbang tiba, lelaki itu didakwa melemparkan kata-kata kesat terhadap pegawai, menolak salah seorang daripada mereka dan mencakarnya, menurut polis.

Pegawai itu mengalami kecederaan ringan di lengan dan diberi cuti sakit selama dua hari, tambah mereka.

Bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka, lelaki itu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, dan denda atau sebatan rotan.

Bagi kesalahan menggunakan perkataan kesat terhadap penjawat awam, dia berdepan hukuman penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan mabuk menyebabkan kekacauan, dia berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga S$1,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita