Lelaki diberkas disyaki lakukan rompakan bersenjata di pemiutang wang Bukit Batok
Polis pada Jumaat (9 Jul) menyatakan seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas setelah terbabit dalam kes disyaki rompakan bersenjata di sebuah peminjam wang di Bukit Batok Street 31.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Polis pada Jumaat (9 Jul) menyatakan seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas setelah terbabit dalam kes disyaki rompakan bersenjata di sebuah peminjam wang di Bukit Batok Street 31.
Pihak berkuasa dimaklumkan tentang kejadian itu pada kira-kira pukul 7.13 malam, Khamis (8 Jul), menurut polis, dengan siasatan awal mendedahkan bahawa suspek dipercayai bertindak sendirian dan meninggalkan tempat kejadian dengan wang tunai sebanyak S$22,000.
Suspek dipercayai menunjukkan kepada seorang wanita yang sedang bekerja di unit itu sebuah nota yang tertera kata-kata "ini adalah satu rompakan", menurut polis.
"Suspek juga dipercayai mengatakan bahawa dia mempunyai sebilah pisau bersamanya di dalam beg," menurut polis.
"Mangsa menuruti permintaan suspek dan menyerahkan kepadanya wang tunai berjumlah sekitar S$22,000. Suspek kemudian membawa lari wang tersebut."
Menurut polis, suspek itu mengambil "langkah-langkah proaktif' untuk menyembunyikan identitinya dengan menutup wajahnya dan mengelakkan daripada meninggalkan sebarang bukti di tempat kejadian.
Polis menyatakan suspek ditangkap dalam masa 11 jam setelah rompakan itu berlaku di Lorong 8 Geylang, menyusuli "siasatan menyeluruh" dan rakaman dari kamera polis.
"Wang tunai berjumlah sekitar S$18,506, dua nota dengan tulisan tangan dan sebuah beg ditemui menyusuli penangkapan tersebut," menurut polis.
"Usaha sedang dijalankan untuk menemukan kembali wang pencurian yang lain dan pisau yang didakwa digunakan semasa rompakan itu."
Lelaki itu akan didakwa pada Sabtu (10 Jul) atas rompakan bersenjata.
Jika didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata antara pukul 7.00 malam dengan 7.00 pagi, dia boleh dihukum penjara antara tiga dengan 14 tahun, dan dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Jika senjata berbahaya digunakan, hukuman rotan boleh tambah tidak kurang daripada 12 sebatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.