Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki diberkas, dipercayai dera kucing di Ang Mo Kio

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas, dipercayai dera kucing di Ang Mo Kio

(Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 31 Dec 2021 08:45AM Dikemas Kini : 31 Dec 2021 02:13PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kes dera kucing diberkas pada Rabu malam (29 Dis), menurut Lembaga Taman Negara (NParks). 

Menurut kenyataan media pada Khamis (30 Dis), Cik Jessica Kwok, pengarah kumpulan Khidmat Haiwan dan Veterinar (AVS) di NParks, mengatakan bahawa pasukannya itu prihatin apabila menerima aduan tentang penganiayaan haiwan di Blok 645 Ang Mo Kio Avenue 6 pada 27 Disember 2021. 

"Siasatan sedang dijalankan dan kami berharap siasatan dapat berjalan lancar. Kami berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka," katanya. 

Satu catatan Facebook oleh pengguna Winnie Tan, yang dimuat naik pada tengah malam 28 Disember, menyatakan bahawa seekor kucing hitam di blok HDB di Ang Mo Kio Avenue 6 itu didera seorang lelaki. 

Pengguna tersebut menyatakan dia sudah beberapa tahun memberi kucing itu makan dan seorang lagi individu yang selalu memberi kucing itu makan memberitahu Cik Winnie bahawa seorang lelaki menghentak kucing itu pada tembok. 

Kucing itu hilang sebelum pengguna berkenaan mengatakan dia menjumpainya di sebuah sekolah menengah sebelum dibawa ke klinik haiwan. 

Dalam satu lagi kemas kini di Facebook, dia menyatakan kucing itu mengalami kaki patah, antara kecederaan lain. 

Dia juga menyatakan bahawa dia sudah pun menghubungi Anggota Parlimen Yio Chu Kang, Yip Hon Weng, yang mewakili daerah di mana penderaan itu dipercayai berlaku. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Encik Yip mengesahkan bahawa seorang penduduk pernah mengirimkan emel kepadanya tentang kejadian tersebut. 

Beliau meminta nombor telefon penduduk itu supaya dapat memanggil AVS untuk siasat dan ambil tindakan. 

"Saya berasa senang hati NParks sudah pun memberkas suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut," katanya. 

Encik Yip juga menggesa penduduk supaya bersikap lebih peka dan segera melaporkan kes penganiayaan haiwan kepada pihak berkuasa yang relevan, seperti NParks dan Majlis Bandaran, supaya mereka boleh menjalankan siasatan. 

"Kekejaman terhadap haiwan tidak boleh diterima sama sekali. Sedang Singapura menjadi masyarakat yang bersifat lebih belas kasihan dan baik hati, kita tidak sahaja harus memastikan penduduk menjaga antara satu sama lain, tetapi juga harus menjaga haiwan-haiwan dalam masyarakat kita," ujarnya. 

Di akaun Facebooknya pada Khamis (31 Dis), Persatuan Kebajikan Kucing mengatakan bahawa kecekapan pihak berkuasa memberkas pelaku itu menunjukkan pentingnya untuk membuat aduan segera, mempunyai atau mengemukakan bukti secukupnya dalam bentuk gambar ataupun rakaman video serta mempunyai pasukan khas untuk menyiasat perkara-perkara berkaitan haiwan. 

"Kami harap kes ini akan mengingatkan orang awam tentang pentingnya untuk sentiasa bersikap berjaga-jaga terhadap perbuatan kejam, sama ada dalam masyarakat ataupun di dalam rumah," tambah kumpulan tersebut. 

Awal tahun ini, seorang lelaki berusia 37 tahun dihukum penjara selama 12 minggu atas kesalahan menggunakan pisau lipat untuk mengelar dan mencederakan tujuh kucing di Ang Mo Kio. 

Leow Wei Liang mengalami gangguan spektrum autisme dan personaliti dalaman yang antisosial. Namun, penilaian Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati bahawa kesalahannya itu disebabkan hasratnya untuk mencederakan haiwan "untuk menghiburkan dirinya sendiri".

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan