Lelaki diberkas didakwa ambil video bawah skirt di Simei
Seorang lelaki 29 tahun ditangkap bagi membantu siasatan kes gangguan awam, selepas seorang wanita bersemuka dengannya kerana dikatakan mengambil video bawah skirt di Simei.
(Gambar fail: Reuters)
SINGAPURA: Seorang lelaki 29 tahun ditangkap bagi membantu siasatan kes gangguan awam, selepas seorang wanita bersemuka dengannya kerana dikatakan mengambil video bawah skirt di Simei.
Wanita tersebut, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Tan, mendakwa dalam satu catatan Facebooka bahawa lelaki itu meletakkan telefon bimbit di bawah skirtnya dan membuat rakaman video sedang beliau dalam perjalanan pulang pada petang Rabu (17 Okt).
Catatan beliau di Facebook juga disertakan dengan gambar-gambar suspek dan video beliau menyoal lelaki itu.
Polis memberitahu Mediacorp pada Khamis bahawa pihaknya dimaklumkan tentang satu kes gangguana awam pada Rabu, 1.46 petang di Blok 155 Simei Road. Tangkapan sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan, menurut polis lagi.
"SAYA RASA PAHA KANAN DISENTUH"
Cik Tan, yang berusia dalam lingkungan 20-an tahun, berkata dalam catatan Facebooknya yang kini tular, bahawa beliau hanya sedar ada orang mengekorinya apabila terdengar "bunyi beg plastik".
"Namun saya tidak perasan berapa rapat orang itu sehingga saya terasa paha kanan saya disentuh sesuatu," tambah beliau di Facebook.
Apabila Cik Tan menoleh, beliau melihat seorang lelaki "membongkok, dengan telefon dihadapkan ke atas".
Beliau mendakwa nampak dirinya dalam video yang diambil dan kemudian bersemuka dengan lelaki itu.
Cik Tan mendakwa apabila lelaki tersebut akhirnya menyerahkan telefon bimbit itu, video di dalamnya sudah dipadam.
Baliau memberitahu Mediacorp bahawa kejadian tersebut membuat beliau berasa takut dan sentiasa perlu berhati-hati.
"Agak terlalu awal untuk memberitahu bagaimana saya sedang cuba atasi insiden ini, tapi saya berasa syak wasangka apabila dihampiri lelaki, " tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.