Lelaki diberkas di Woodlands setelah cuba larikan diri; didakwa lakukan gangguan tailong
Seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas pada Jumaat (28 Mei) setelah mencuba melarikan diri daripada pihak berkuasa, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (29 Mei).
Kereta yang dipandu oleh lelaki yang diberkas polis. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas pada Jumaat (28 Mei) setelah mencuba melarikan diri daripada pihak berkuasa, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (29 Mei).
Lelaki itu disyaki terlibat dalam kes gangguan tailong di Haig Road pada 23 Mei dan tindakan terburu-buru serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan dadah.
Dia juga dikehendaki oleh pihak polis kerana dipercayai mencuri dan memandu dengan berbahaya dan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi kesalahan-kesalahan berkaitan dadah.
Pihak polis menjalankan operasi untuk memberkas lelaki itu sekitar 3.40 petang pada Jumaat di kawasan Blok 469 Admiralty Drive.
"Apabila lelaki itu menyedari bahawa dia diekori oleh kenderaan-kenderaan polis yang tidak bertanda, dia cuba melarikan diri dengan memandu kenderaannya," menurut SPF dalam kenyataan medianya.
"Ketika melarikan diri, lelaki itu dipercayai melanggar dan merosakkan salah sebuah kenderaan polis."
Tiada pegawai polis yang dilaporkan cedera, menurut SPF.
SPF dengan serta-merta melancarkan operasi di seluruh negara untuk mengesan lelaki itu. Para pegawai polis menemui kenderaan yang digunakan untuk melarikan diri di sekitar Blok 222 Yishun Street 21.
Dia kemudian diberkas dalam sebuah flat di Blok 772 Woodlands Drive 60.
Siasatan sedang dijalankan.
Lelaki itu didakwa atas gangguan tailong pada Sabtu.
Pesalah kali pertama yang didapati bersalah kerana melakukan gangguan tailong boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, dirotan sehingga 6 sebatan dan didenda antara S$5,000 hingga S$50,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.