Lelaki diberkas di Hougang kerana kelar lelaki 30 tahun, cederakan 3 pegawai polis
Seorang lelaki diberkas di Hougang pada Khamis (17 Apr) selepas dipercayai mengelar seseorang dan mencederakan tiga pegawai polis ketika dia ditahan.
SCDF menyatakan ia menerima panggilan bantuan di Blok 681 Hougang Avenue 8. (Gambar: Google Maps)
Menurut polis, pihaknya menerima beberapa panggilan meminta bantuan di Hougang Avenue 8 sekitar pukul 1.10 tengah hari.
Apabila para pegawai polis tiba di tempat kejadian, mereka melihat lelaki berusia 22 tahun itu berlari dalam keadaan bogel.
Suspek sebelum itu dipercayai menyerang seorang lelaki berusia 30 tahun, kata polis.
"Ketika para pegawai cuba menahannya, lelaki itu dipercayai menyerang mereka dengan papan kayu dengan paku."
Tiga anggota polis mengalami cedera ringan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa ia menerima panggilan meminta bantuan di Blok 681 Hougang Avenue 8 pada sekitar pukul 1.30 tengah hari, dan seorang individu telah dibawa ke Hospital Besar Sengkang.
Lelaki berusia 22 tahun itu diberkas kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan menghalang para pegawai awam daripada menjalankan tugas mereka, kata polis.
Sebilah pisau dan papan telah dirampas dan siasatan polis sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.