Lelaki diberkas curi barangan bernilai lebih S$2,600 di Lapangan Terbang Changi
Seorang lelaki berusia 45 tahun diberkas kerana dipercayai mencuri pelbagai barangan - termasuk bagasi, beg, botol air dan aksesori - dari beberapa kedai di Lapangan Terbang Changi.
Sepasang cermin mata hitam, sebuah beg dan aksesori yang didakwa dicuri suspek dari beberapa kedai di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (25 Sep), pihaknya dimaklumkan mengenai kes kecurian dalam kedai pada 2 September, pukul 7.40 malam, selepas sepasang cermin mata hitam dilaporkan hilang dari sebuah kedai di kawasan transit Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.
Seorang pembantu jualan mendapati cermin mata tersebut hilang dari rak pameran dan segera menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Rakaman itu menunjukkan suspek disyaki mengambil cermin mata tersebut tanpa membuat bayaran.
Lelaki warga Australia itu diberkas di kawasan transit dalam masa sejam selepas laporan dibuat, menurut SPF dalam kenyataan medianya, sambil menambah bahawa dia turut dihalang daripada meninggalkan Singapura.
Siasatan lanjut mendapati lelaki itu memasuki lapan kedai berbeza dan dikatakan mengambil pelbagai barangan tanpa membuat bayaran, menurut polis.
Barangan yang diambil termasuk cermin mata hitam, beg, botol air, bagasi, rantai kunci (keychain) dan aksesori lain.
“Barangan tersebut, yang dianggarkan bernilai lebih S$2,600 ditemui padanya,” tambah SPF.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.
Jika sabit kesalahan mencuri dalam premis, dia boleh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
SPF menegaskan bahawa ia memandang serius terhadap kes kecurian dalam kedai dan pesalah akan dikenakan tindakan tegas.
“Pesalah tidak harus beranggapan bahawa mereka boleh mengelak daripada dikesan dengan cuba meninggalkan negara dengan segera selepas melakukan jenayah sedemikian.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.