Skip to main content

Singapura

Lelaki diberkas cuba seludup lebih 35kg ganja ke SG

Seorang lelaki berusia 25 tahun diberkas kerana cuba menyeludup kira-kira 36.3 kilogram (kg) ganja ke Singapura, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (22 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas cuba seludup lebih 35kg ganja ke SG

Ilustrasi yang menunjukkan sepasang gari. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 22 Apr 2026 10:22PM
  • Seorang lelaki warga Portugal berusia 25 tahun ditahan oleh ICA selepas cuba menyeludup kira-kira 36.3kg ganja ke Singapura.
  • Lelaki itu tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 14 April dan pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pegawai K-9 polis.
  • Pemeriksaan mendapati 68 paket dadah terkawal dalam bagasi, yang disahkan sebagai ganja oleh Biro Narkotik Pusat (CNB).
  • Siasatan masih dijalankan, dan ICA menegaskan komitmen mereka untuk mencegah penyeludupan dadah serta bekerjasama dengan agensi lain.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 25 tahun diberkas kerana cuba menyeludup kira-kira 36.3 kilogram (kg) ganja ke Singapura, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (22 Apr).

Lelaki warga Portugal itu tiba di Singapura pada 14 April dan dijadual berangkat keesokan harinya, menurut ICA dalam kenyataan medianya.

Pada lewat 14 April, lelaki itu diarahkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut oleh pegawai K-9 polis di kawasan bagasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.

Pegawai ICA menemui beberapa paket yang dipercayai mengandungi dadah terkawal dalam bagasinya. Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) dimaklumkan dan menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Sebanyak 68 paket yang dipercayai mengandungi dadah terkawal ditemui. Paket-paket tersebut kemudian didapati mengandungi kira-kira 36.3kg ganja,” menurut ICA.

Siasatan masih dijalankan, tambah pihak berkuasa berkenaan.

Sesiapa yang mengimport atau mengeksport lebih 500 gram ganja dari Singapura boleh dijatuhi hukuman mati.

“ICA komited untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan dan bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mencegah cubaan menyeludup individu-individu yang tidak diingini, senjata, bahan letupan, dadah dan barangan larangan lain merentasi sempadan kami,” katanya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita