Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki diberkas, bakar langsir di bilik tahanan Lapangan Terbang Changi

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberkas, bakar langsir di bilik tahanan Lapangan Terbang Changi

Pembukaan Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 1 Nov 2023. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 13 Dec 2024 07:47AM Dikemas Kini : 13 Dec 2024 08:00AM
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Australia diberkas kerana membakar langsir di sebuah bilik tahanan di Lapangan Terbang Changi.

Pada Khamis (12 Dis), kira-kira pukul 2.15 pagi, polis dimaklumkan tentang kes melibatkan seorang lelaki berkelakuan ganas di sebuah bilik tahanan yang terletak di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.

Lelaki 33 tahun itu dipercayai melontarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai polis tambahan, selepas permintaannya bagi sebatang rokok ditolak, dedah polis dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Sebelum polis tiba, lelaki tersebut dipercayai mencabut langsir dari bilik tahanan tersebut dan membakarnya menggunakan pemetik api.

Dia mengancam untuk menyebarkan api jika tuntutannya tidak dipenuhi, dedah polis.

Api itu kemudian dipadamkan oleh pegawai dari Polis Bahagian Lapangan Terbang.

Ketika pertikaian berlaku, lelaki itu juga menyembur alat pemadam api ke arah pegawai tersebut, tambah polis.

Lelaki itu akan didakwa pada Jumaat (13 Dis) atas kesalahan melakukan kerosakan dengan api dengan niat untuk menyebabkan kerosakan. Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Siasatan terhadapnya atas kesalahan jenayah lain sedang dijalankan, tambah polis.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan