Skip to main content

Singapura

Lelaki diberi S$356,000 sebagai ganti rugi selepas buah pinggang rosak dalam nahas 2015

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberi S$356,000 sebagai ganti rugi selepas buah pinggang rosak dalam nahas 2015

(Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 27 Apr 2023 04:53PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang kehilangan buah pinggang dan mengalami kecederaan serius yang lain dalam kemalangan jalan raya pada 2015 diberi S$356,000 sebagai ganti rugi oleh mahkamah.

Pemandunya, Cik Norhazlina Md Yusop mengakui dia menyebabkan kemalangan itu dan menyebabkan kecederaan termasuk beberapa tulang patah dan parut besar pada mangsa.

Dalam keputusan yang dikeluarkan pada Khamis (27 Apr) Timbalan Pendaftar Kim Bum Soo berkata bahawa plaintif, yang merupakan seorang penuntut politeknik pada masa itu merupakan lelaki muda yang mempunyai masa depan dan impian untuk dicapai.

Sekalipun demikian, selepas "kemalangan mengerikan" tersebut, hidupnya sekarang "terjejas oleh realiti kehidupan baru yang lebih suram".

Selepas kemalangan pada 28 September 2015, Encik Asher David De Laure memerlukan pembedahan demi pembedahan bagi kecederaannya, termasuk buah pinggang kanan yang rosak, luka pada hati, lumpuh separa pita suara kanannya dan kecederaan pada diafragma dan paru-parunya.

Beliau kehilangan begitu banyak darah sehingga memerlukan pembedahan invasif dan beliau mengalami proses pemulihan yang rumit, mengalami kerosakan otot selepas pembedahan dan mengalami kegagalan buah pinggang akut.

Encik De Laure mengalami gangguan tekanan trauma selepas kejadian itu dan berjaya menghabiskan pendidikan politeknik selepas mengalami cabaran dan menamatkan pengajian lewat setahun daripada rakan-rakannya.

Beliau kemudian mendapat pekerjaan pertama selepas tamat pengajian, dengan gaji S$3,500 setiap bulan. Namun beliau mendapati pekerjaan itu mencabar disebabkan kecederaan yang dialami dan beliau mencari pekerjaan lain.

Beliau kini berusia 26 tahun dan menerima gaji S$2,400 pada pekerjaanya sekarang, di mana beliau terus mengalami kesulitan menangani aspek fizikal kerjanya dek kecederaan yang dialami.

Encik De Laure diwakili Encik Caleb Tan, David Siow Yi Dong dan Joshua Lim, manakala pemandu itu diwakili Encik Narayanan Ramasamy dan Donald Alastair Spencer.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan semua hujah tuduhan itu kecuali yang berkaitan dengan kesakitan dan penderitaan yang dialami serta kehilangan kapasiti pendapatan.

Bagi tuntutannya berhubung kehilangan kapasiti pendapatan, Encik De Laure menyifatkan kesukarannya untuk memohon pekerjaan, menyatakan bahawa "kebanyakan tempat tidak mahu liabiliti" dan ketidakpastiannya tentang dapat melaksanakan skop kerja yang diberikan pada masa hadapan.

Encik Kim memberikan S$356,000 sebagai ganti rugi kepada Encik De Laure. Ini termasuk S$87,000 bagi kesakitan dan kecederaan buah pinggangnya, S$70,000 bagi kehilangan kapasiti pendapatan masa depan dan kira-kira S$34,800 bagi kehilangan pendapatannya berkaitan dengan kelewatannya dalam menamatkan pengajian dan mengambil cuti sekolah akibat kemalangan itu.

Encik Kim berkata ini adalah kemalangan yang mengerikan dan melibatkan "pencarian penyelesaian yang paling adil untuk mangsa yang mengalami kemalangan ini".
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita