Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki diberi ganti rugi S$20,000 setelah secara salah dihukum penjara

Seorang lelaki dibayar pampasan S$20,000 kerana dihukum penjara secara salah, selepas bertahun-tahun beliau gagal dalam percubaannya untuk mendapatkan tindakan guaman terhadap dua pegawai polis yang didakwanya telah menyalahgunakan kuasa mereka terhadapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diberi ganti rugi S$20,000 setelah secara salah dihukum penjara

(Gambar fail: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Seorang lelaki dibayar pampasan S$20,000 kerana dihukum penjara secara salah, selepas bertahun-tahun beliau gagal dalam percubaannya untuk mendapatkan tindakan guaman terhadap dua pegawai polis yang didakwanya telah menyalahgunakan kuasa mereka terhadapnya.

Encik Mah Kiat Seng ditangkap dan dipenjarakan buat tempoh kurang sehari pada 2017, selepas seorang wanita menghubungi polis dan mendakwa bahawa lelaki itu memegang kepala anak lelakinya.

Encik Mah kemudian mengemukakan saman terhadap Peguam Negara, yang mewakili Pasukan Polis Singapura (SPF), berserta dua pegawai polis - Staf Sarjan Mohamed Rosli Mohamed yang meletakkannya di bawah tahanan dan Staf Sarjan Tan Thiam Chin Lawrence yang berinteraksi dengan Encik Mah ketika berada dalam lokap polis.

Tindakan guaman lain yang diambil oleh Encik Mah sebelum ini ditolak. 

Namun dalam penghakimannya hari ini (19 Jan), Mahkamah Tinggi mendapati bahawa SSgt Rosli memberkas Encik Mah kerana beliau tidak menyukainya - bukan kerana beliau benar-benar fikir bahawa Encik Mah seorang individu berbahaya kerana mengalami gangguan mental.

Hakim Philip Jeyaretnam mendapati SSgt Rosli bertindak dengan niat jahat apabila beliau memberkas Encik Mah tetapi Encik Mah tidak dapat membuktikan dakwaannya bahawa beliau diserang.

Hakim juga meluahkan "keprihatinan" terhadap laporan perubatan doktor mengenai Encik Mah, yang kelihatan diubah untuk mewajarkan penangkapan itu.

HARI KEJADIAN

Pada 7 Julai 2017, seorang wanita menghubungi polis dari Suntec City dan mengatakan seorang lelaki Cina telah memegang kepala anak lelakinya.

SSgt Rosli dan rakan kerjanya dikerahkan ke tempat kejadian di mana mereka menyoal siasat wanita itu.

Wanita itu mendakwa lelaki berkenaan kelihatan seolah-olah sedang cuba menarik rambut anak lelakinya. Menurut wanita itu lagi, beliau menjerit ke arah lelaki itu yang kemudian melarikan diri.

Tidak lama kemudian, kedua-dua pegawai polis itu menemui Encik Mah yang sedang duduk di sebuah bangku di luar Suntec City lalu mereka menyoal siasatnya. 

SSgt Rosli menyimpulkan bahawa Encik Mah mengalami gangguan mental dan menimbulkan bahaya kepada dirinya serta orang lain.

SSgt Rosli dan rakan kerjanya, berserta dua lagi pegawai polis yang datang menghulurkan bantuan, kemudian menangkap Encik Mah di bawah Akta Kesihatan Mental (Jagaan dan Rawatan) lalu menggari tangannya.

Encik Mah dibawa ke Lokap Daerah Divisyen Central Polis dengan menaiki sebuah kereta polis dan pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh serta barangan miliknya.

Encik Mah ditahan di dalam sebuah lokap kira-kira pukul 10.00 malam dan diperiksa oleh seorang doktor sekitar pukul 10.20 malam. Selepas dirujuk ke Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi rawatan, Encik Mah dipindahkan ke sebuah sel penjara yang dipasang kusyen pada dinding.

Kira-kira pukul 3.00 pagi, Encik Mah dibawa ke IMH di mana seorang doktor memeriksanya sekitar pukul 5.00 pagi. Doktor itu diberikan memorandum rujukan yang ditulis oleh seorang pegawai polis penyiasat, yang menyatakan bahawa Encik Mah dilihat menarik rambut seorang  budak lelaki berusia empat tahun.

Sekitar pukul 5.45 pagi, doktor IMH itu mengarahkan supaya Encik Mah ditahan bagi pemeriksaan dan pemantauan lanjut. Beliau prihatin jikalau Encik Mah berisiko menimbulkan bahaya kepada golongan bawah umur dan mengesyaki bahawa lelaki itu mengalami gangguan mental yang belum didiagnosis.

Namun selepas memerhatikan Encik Mah selama beberapa waktu, para doktor menyimpulkan bahawa beliau tidak mengalami sebarang gangguan mental dan tidak seharusnya ditahan lebih lanjut.

Encik Mah dibenarkan pulang dari IMH sekitar pukul 7.00 malam hari berkenaan.

BAYARAN PAMPASAN

Encik Mah meminta bayaran ganti rugi sebanyak S$4,620.95. Beliau memperolehi jumlah itu dengan merujuk kepada wang pampasan yang dibayar kepada seseorang yang dipenjarakan secara salah sebanyak empat kali di Malaysia.

Namun Peguam Negara mencadangkan bayaran pampasan tidak melebihi S$15,000 bagi dakwaan dipenjarakan secara salah, tidak lebih daripada S$4,000 bagi dakwaan beliau diserang dan ganti rugi nominal S$1 bagi setiap satu daripada tuntutannya yang lain.

Hakim memberikan Encik Mah bayaran pampasan sebanyak S$20,000 kerana dipenjarakan secara salah. Beliau memberikan jumlah yang lebih tinggi daripada dicadangkan oleh Peguam Negara kerana beliau mengambil kira hakikat bahawa Encik Mah digari dan ditahan dalam lokap dan tidak sebaliknya dibawa langsung ke IMH.

Jika Encik Mah terus dibawa ke IMH, ia kemungkinan menimbulkan kurang tekanan baginya, menurut hakim.

"Akta Kesihatan Mental (Jagaan dan Rawatan) meletakkan kewajipan ke atas pegawai polis untuk memberkas individu yang dipercayai menimbulkan bahaya kepada diri mereka atau orang lain atas sebab gangguan mental," menurut hakim.

"Ia adalah tugas penting yang melindungi kepentingan awam, terutama sekali keselamatan awam. Ia bergantung kepada pegawai polis untuk menjalankan tugasnya dengan jujur."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan