Skip to main content

Singapura

Lelaki diarah intip bekalan vape bernilai S$6 juta ditangkap HSA

Seorang lelaki direkrut oleh seorang pengimport rokok elektronik haram untuk mengintip sejumlah besar bekalan bernilai lebih S$6 juta yang dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diarah intip bekalan vape bernilai S$6 juta ditangkap HSA

Mahkamah Negara Singapura. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang lelaki direkrut oleh seorang pengimport rokok elektronik haram untuk mengintip sejumlah besar bekalan bernilai lebih S$6 juta yang dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Namun, lelaki warga Malaysia itu dikesan oleh pegawai HSA yang bertanya mengapa dia berada di sana. Pegawai-pegawai itu kemudian menemui dadah di dalam kenderaannya.

Menyusuli kegagalannya itu dia kemudian menghubungi majikannya apabila dia dibebaskan dengan ikat jamin dan bersembunyi di dalam lori untuk kembali ke Malaysia, tetapi dia kemudian ditangkap dan dihantar semula ke Singapura untuk berdepan pertuduhan terhadapnya.

Chee Wai Yuen, 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara satu tahun, satu bulan dan enam minggu pada Isnin (7 Jul).

Dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan termasuk pertuduhan dadah, menghalang keadilan dengan melakukan pengawasan dan kesalahan imigresen kerana meninggalkan Singapura tanpa menunjukkan pasportnya. Empat lagi pertuduhan diambil kira.

Mahkamah diberitahu bahawa Chee direkrut oleh Chua Wee Ming sekitar 20 Mac tahun lalu untuk melakukan pengawasan.

Chua, yang juga warga Malaysia, didakwa mengimport rokok elektronik dan komponennya ke Singapura untuk tujuan penjualan.

Barang-barang tersebut dirampas oleh HSA dan disimpan di sebuah gudang di bawah jagaan agensi itu, yang lokasinya dilindungi oleh perintah larangan mahkamah.

Sekurang-kurangnya 189,010 unit vape dan 351,223 komponen disimpan di gudang itu, dengan jumlah nilai anggaran S$6.5 juta.

Barang-barang itu bertujuan untuk dijadikan bukti oleh HSA bagi pendakwaan masa depan terhadap kesalahan.

Chua meminta Chee untuk mengawasi gudang tersebut untuk melihat sama ada ada kakitangan HSA yang mengawal unit tertentu, supaya Chee atau orang lain dapat masuk untuk mencuri produk tersebut.

Chee bersetuju dan memandu ke gudang itu pada suatu masa selepas pukul 10.00 malam pada 23 Mac tahun lalu.

Dia meletakkan keretanya di tempat letak kereta gudang sebelum naik ke tingkat 10. Dia kemudian menaiki tangga ke tingkat yang disasarkan dan pergi ke unit itu untuk melakukan pengawasan.

DITAHAN DAN DITANGKAP

Sekalipun demikian, dia dihampiri oleh tiga pegawai HSA di unit itu, yang bertanya mengapa dia berada di sana.

Chee berbohong bahawa dia tersalah lokasi dan cuba untuk berlalu pergi. Dia masuk ke dalam lif dan pergi ke tempat letak kereta, sebelum memandu keluar kira-kira pukul 12.40 pagi.

Semasa dia memandu, dia dihentikan oleh pegawai HSA. Mereka menggeledah kenderaannya selama kira-kira 40 minit dan menemui barangan berkaitan dadah termasuk ketamin.

Chee ditangkap dan dibawa ke Biro Narkotik Pusat, di mana sampel air kencingnya didapati mengandungi methamphetamine dan norketamine.

Chee mengaku mengambil meth, dan berkata perkakas yang ditemui di dalam keretanya adalah untuk tujuan menggunakannya.

Dia didakwa di mahkamah pada 28 Mac tahun lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah, dengan pasportnya disita sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin.

Chee kemudian menghubungi Chua, kerana Chua sebelum ini memberi jaminan bahawa dia akan mengatur seseorang untuk menyeludup Chee keluar dari Singapura jika dia ditangkap.

Chua menyuruhnya menunggu untuk dihubungi, dan Chee diarahkan oleh seorang yang tidak dikenali melalui WhatsApp pada 4 April 2024 untuk pergi ke lokasi di Tuas pada pagi berikutnya.

Chee pergi dan mencari lori kuning seperti yang diarahkan. Ia dipandu oleh rakan sejenayah Thanesh Murugan, yang didakwa atas pelibatannya.

Thanesh memandu lori itu ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas dengan Chee bersembunyi di belakang tempat duduk pemandu.

Selepas Chee gagal hadir untuk perbicaraan mahkamah pada April 2024, waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Dia melarikan diri sehingga dia ditangkap pada Oktober tahun lalu di Malaysia dan diekstradisi ke Singapura, dan kekal dalam tahanan sejak itu.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara satu tahun, satu bulan dan lapan minggu hingga satu tahun, dua bulan dan lapan minggu untuk Chee.

Dia menyatakan bahawa jumlah vape dan komponen yang tinggi yang terlibat menjadikan ini kes yang serius berbanding kes-kes lain yang serupa.

Namun, peguam berkata "tahap perancangan dan ketelitian yang dilakukan tertuduh adalah rendah kerana dia tidak menggunakan atau menyediakan sebarang peralatan khas untuk tujuan pengawasannya".

Terdapat juga "kesan yang minimum ke atas perjalanan keadilan" kerana Chee ditangkap dan pencurian yang sepatutnya dilakukan hasil pengawasannya akhirnya tidak berlaku.

Chua ditahan reman sejak Oktober dan kesnya masih menunggu dibacarakan.
Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita