Skip to main content

Singapura

Lelaki dapatkan komputer riba secara percuma melalui PayPal; dikenakan perintah tahanan setelah buat aduan polis kerana rasa bersalah

Seorang lelaki yang diajak menyertai skim untuk menipu syarikat-syarikat teknologi supaya menghantar komputer riba secara percuma menggunakan isu gangguan pada PayPal, mengajak lagi empat individu menyertai skim tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dapatkan komputer riba secara percuma melalui PayPal; dikenakan perintah tahanan setelah buat aduan polis kerana rasa bersalah

Laptop. (Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 23 Jun 2026 10:01PM Dikemas Kini : 23 Jun 2026 10:02PM
  • Jonathan Wee Jianwei bersama beberapa individu lain terlibat dalam skim penipuan komputer riba menggunakan kelemahan sistem PayPal di Singapura.
  • Skim ini melibatkan pembelian komputer riba dari Lenovo dan Microsoft, dengan wang dipulangkan secara automatik dan peserta menerima komisyen.
  • Wee mengajak empat orang menyertai skim tersebut, namun kemudian berasa bersalah dan membuat aduan polis serta membayar balik kerugian syarikat terlibat.
  • Mahkamah menjatuhkan perintah tahanan pendek 14 hari dan 70 jam khidmat masyarakat kepada Wee, manakala rakan-rakannya turut menunggu hukuman.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang lelaki yang diajak menyertai skim untuk menipu syarikat-syarikat teknologi supaya menghantar komputer riba secara percuma menggunakan isu gangguan pada PayPal, mengajak lagi empat individu menyertai skim tersebut.

Namun dia kemudian berasa bersalah lalu membuat aduan polis.

Dia juga membuat pembayaran balik bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga teman-temannya yang diajak untuk menyertai skim penipuan itu.

Jonathan Wee Jianwei, seorang rakyat Singapura berusia 29 tahun diberikan perintah tahanan pendek 14 hari pada Selasa (23 Jun).

Dia juga diarah melakukan khidmat masyarakat selama 70 jam dalam tempoh setahun.

Perintah tahanan pendek adalah hukuman berasaskan masyarakat yang tidak akan mencatatkan rekod jenayah kepada para pesalah dan sebagai pencegahan dengan membolehkan pesalah menjalani hukuman penjara.

Wee mengaku bersalah terhadap satu tuduhan bersubahat untuk memperdayakan Lenovo, dengan lagi dua tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

KESNYA

Kes bermula dengan tertuduh bersama Calvin Fong Jun Jie, 31 tahun yang menghubungi temannya di sekolah rendah, Alden Low Yoong Theng, yang juga berusia 31 tahun pada lewat 2019.

Fong berkata dia berpeluang untuk meraih keuntungan melalui pembelian komputer riba.

Dia berkata wang itu akhirnya akan dipulangkan kepada Low selepas komputer riba itu dihantar.

Fong menunjukkan kepada Low bagaimana helah itu dijalankan dengan penggunaan akaun PayPal untuk membuat bayaran bagi komputer riba tersebut.

Bayaran itu dipotong dari akaun bank Low, namun Fong memberi jaminan bahawa wang itu akan dipulangkan dalam masa seminggu.

Komputer riba itu dihantar ke alamat Low.

Fong kemudian mengambil komputer riba tersebut lalu membayar Low sekitar 40 peratus daripada jumlah pembelian sebagai "komisyen".

Low kemudian memeriksa akaun banknya dan mendapati wang yang dibayar untuk komputer riba itu sudah pun dipulangkan.

Pada kira-kira Februari 2020, Low mengajak Wee menyertai skim itu.

Mereka telah menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama-sama dan berkawan.

Low menjelaskan bahawa para peserta akan menghubungkan akaun bank mereka kepada akaun PayPal, dan meninggalkan hanya S$100 dalam akaun bank mereka.

Low kemudian akan memindahkan wang ke dalam akaun tersebut untuk membeli komputer riba.

Fong akan mengawal komputer riba peserta dari jauh dan membuat tempahan komputer riba menggunakan akaun PayPal.

Komputer riba tersebut akan dihantar secara fizikal kepada para peserta dan diambil oleh Fong.

Memandangkan terdapat kerosakan pada sistem PayPal, wang yang dibayar kepada penjual komputer riba akan dipulangkan secara automatik kepada akaun PayPal para peserta.

Mereka kemudian akan memulangkan wang tersebut dan menerima bayaran komisyen.

Low memberitahu Wee bahawa dia boleh memperolehi lebih banyak wang dengan mengajak lebih ramai orang menyertai skim itu, dengan bayaran S$100 bagi setiap individu yang dipanggil untuk sertai skim berkenaan.

AJAK LAGI 4 ORANG SERTAI SKIM PENIPUAN


Wee mengajak empat temannya supaya menyertai skim itu, sambil mengarahkan mereka untuk membuka akaun PayPal dan memuat turun sofwe.

Dia menerima bayaran S$400 setelah berjaya merekrut mereka.

Secara keseluruhan, komputer riba bernilai lebih S$32,000 dihantar disebabkan oleh peserta baharu itu, kecuali individu keempat yang akhirnya memutuskan untuk tidak menyertai skim itu.

Wee juga membeli dua komputer riba Microsoft bernilai lebih S$3,900 pada Mei 2020 atas permohonan Fong menggunakan kelemahan sistem yang sama.

Pada masa yang sama, PayPal menyuruh Wee membuat aduan polis untuk memproses permohonan pemulangan bayaran.

Wee membuat aduan polis secara online pada Mei 2020 sambil berbohong bahawa terdapat dua komputer riba bernilai sekitar S$4,000 yang hilang daripada pakej penghantarannya.

Namun beberapa bulan kemudian pada Februari 2021, Wee membuat aduan polis sebenar sambil mengaku terlibat dalam penipuan itu.

Dia katakan bahawa dia berbuat demikian kerana dia berasa bersalah.

Dia kemudian membuat bayaran penuh sebanyak S$6,701 kepada Lenovo dan S$3,938.40 kepada Microsoft.

Pihak pendakwa berkata kesalahan itu adalah serius, tetapi fakta kes itu adalah luar biasa.

Timbalan Pendakwa Raya Adelle Tai memohon perintah tahanan pendek selama 14 hari dan meminta laporan bagi menilai kesesuaian Wee menjalani perintah khidmat masyarakat.

Atas kesalahan bersubahat untuk menipu, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Fong dijadual mengaku bersalah pada bulan depan, manakala Low sudah mengaku bersalah dan dijadual dijatuhi hukuman pada bulan depan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita