Lelaki dalam senarai buruan FBI didenda S$210,000; palsukan invois urus niaga Korea Utara
Lelaki warga Singapura, yang diletakkan dalam senarai orang paling dikehendaki Biro Persekutuan Siasatan (FBI) Amerika Syarikat kerana pengubahan wang haram, didenda S$210,000 oleh mahkamah Singapura pada Rabu (20 Okt). Ini bagi kesalahan memalsukan invois berkaitan perniagaan di Korea Utara
Jabatan Keadilan AS menuduh broker komoditi Singapura, Tan Wee Beng, mengubah wang haram untuk mengelak sekatan terhadap Korea Utara. (Gambar: FBI)
SINGAPURA: Lelaki warga Singapura, yang diletakkan dalam senarai orang paling dikehendaki Biro Persekutuan Siasatan (FBI) Amerika Syarikat kerana pengubahan wang haram, didenda S$210,000 oleh mahkamah Singapura pada Rabu (20 Okt). Ini bagi kesalahan memalsukan invois berkaitan perniagaan di Korea Utara.
Tan Wee Beng, 44 tahun, menyatakan dia akan membayar denda itu sepenuhnya selewat-lewatnya pada Rabu.
Minggu lalu, dia mengaku bersalah atas tujuh tuduhan memalsukan invois dua syarikat dengan 13 lagi tuduhan dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.
Pada Rabu, Hakim Daerah Eddy Tham berkata kesalahan Tan melibatkan pemalsuan dokumen yang diserahkan kepada bank untuk menyorokkan daripada pihak bank bahawa penyimpanan wang tertentu adalah hasil urus niaga dengan entiti berkaitan dengan Korea Utara.
"Institusi kewangan seperti bank menjalankan peranan amat penting... dan adalah penting bagi pihak bank mempunyai maklumat tepat," menurut hakim.
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian pihak pendakwa tidak mencabar pernyataan pihak pembela bahawa larangan perdagangan terhadap Korea Utara berkuat kuasa di Singapura pada November 2017 manakala Tan sudah menghentikan semua kegiatannya berkaitan dengan Korea Utara berbulan-bulan sebelum itu.
"Lantaran itu, semua urus niaga adalah sah dan ia bukan satu usaha untuk menyembunyikan kesalahan," kata Hakim Tham.
Walaupun hakim menarik perhatian bahawa jelas ada kepentingan peribadi bagi Tan, dengan kemudahan kredit diluluskan oleh UOB bagi syarikatnya berjumlah sekitar S$125 juta, hakim berkata ini adalah kes yang kurang mengejutkan berbanding yang lain di mana kepalsuan dilakukan demi kepentingan yang melanggar undang-undang.
Tan adalah pengarah ususan dan pemegang saham Wee Tiong, sebuah syarikat perdagangan komoditi, dan anak syarikatnya, Morgan Marcos.
Dari 2007, dia memulakan perdagangan dengan Ri Nam Sok dari Korea Utara dan kemudian dengan Jon Chol Ho pada 2010.
Dia lazimnya menjual gula, biji soya dan beras. Tan memalsukan invois bank setelah UOB dan OCBC menghantar pertanyaan kepadanya antara November 2016 hingga Oktober 2017 tentang penyimpanan wang ke dalam kedua-dua akaun syarikatnya.
Dia berbuat demikian kerana bimbang kedua-dua bank akan menghentikan hubungan perbankan dengannya jika ia mendapat tahu bahawa urus niaga tersebut adalah dengan entiti Korea Utara.
Bagi setiap tuduhan memalsukan invois dengan tujuan menipu, Tan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Tan disenaraikan dalam notis FBI sebagai individu paling dikehendaki bagi jenayah-jenayah termasuk penipuan bank, pengubahan wang haram dan bersekongkol untuk menipu Amerika Syarikat.
Dia didakwa menyorokkan asal usul pembayaran dan mengubah urus niaga untuk mengelak daripada pengawasan pengawal selia bagi perdagangannya di Korea Utara.
Waran tangkap persekutuan dikeluarkan terhadap Tan pada Ogos 2018 oleh Mahkamah Daerah AS, Daerah Selatan New York, setelah tuduhan dikenakan terhadapnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.