Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dakwa diri putera dan warga 'berdaulat' dipenjara kerana tidak pakai pelitup

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang menarik perhatian ramai kerana mendakwa dirinya peguam kepada individu antipelitup Benjamin Glynn, dihukum penjara dua minggu pada Selasa (21 Feb) kerana tidak memakai pelitup dengan betul sebanyak dua kali.

Abdul Rashid Abdul Rahman, 58 tahun, meminta dibicarakan terhadap dua tuduhan tersebut dan mewakili dirinya sendiri.

Abdul Rashid berdepan dua tuduhan melanggar peraturan COVID-19 apabila gagal memakai pelitup di dalam dan luar Mahkamah Negara pada 2 Julai 2021, dan di East Coast Lagoon Food Village pada 19 Mac 2021.

Dia juga ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi penilaian psikiatrik kerana Hakim Bala Reddy mendapati dia tidak jelas semasa membuat pembelaan tetapi
didapati cukup waras untuk membuat rayuan.

Abdul Rashid tidak perlu menjalani sebarang hukuman penjara tambahan setelah disebabkan Hakim Reddy mengambil kira tempoh dua minggu dia ditahan reman di IMH.

PEMBELAAN ABDUL RASHID

Pada Selasa (21 Feb), Abdul Rashid menggulung pembelaan dengan dirinya sendiri sebagai saksi.

Dia cuba menyerahkan beberapa dokumen sebagai bukti, termasuk artikel bertajuk "Pelitup akibatkan barah", "Manusia bukan hamba" dan "Undang-undang yang melindungi kami daripada pelanggaran terhadap jasad yang diberi Tuhan".

Bagaimanapun, hakim memberitahunya bahawa dokumen-dokumen tersebut hanya dapat diterima jika Abdul Rashid memanggil penulis buku-buku tersebut ke kandang saksi.

Dalam pembelaannya, Abdul Rashid berhujah bahawa dia tidak setuju "ditadbir" oleh undang-undang kerana mendakwa bapanya seorang sultan.

"Bapa awak sultan negara apa?" tanya hakim.

"Singapura," jawab Abdul Rashid.

"Singapura? Dia sultan Singapura?", tanya Hakim Reddy lagi.

"Dan Malaysia," jawab Abdul Rashid.

Abdul Rashid juga mendakwa media telah cuba merosakkan "nama baik dan reputasinya".

Menurutnya dia mempunyai kerajaan, dan Hakim Reddya bertanya di mana terletak kerajaannya.

"Singapura, Malaysia dan sebahagian dari Indonesia," kata Abdul Rashid.


SEBAB ABDUL RASHID TIDAK PATUH UNDANG-UNDANG

Menurut Abdul Rashid, sebagai seorang warga "berdaulat", selagi dia tidak mencederakan sesiapa atau mengakibatkan kerosakan pada harta benda awam, dia boleh "memerintah sendiri" dan "berkuasa atas diri sendiri".

Di bawah peraturan memakai pelitup, jika seorang tidak boleh memakai pelitup atas sebab kesihatan seperti yang didakwa Abdul Rashid, individu tersebut harus memakai perisai muka.

Nasihat memakai perisai muka disertakan dalam memo doktor yang diserahkan Abdul Rashid dalam kesnya.

Abdul Rashid menjelaskan bahawa dia cuba untuk memakai perisai muka, namun ia membuatnya berpeluh.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan