Skip to main content

Singapura

Lelaki curi wang dari kotak derma Masjid Al-Iman buat kali kedua dipenjara 8 bulan

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki curi wang dari kotak derma Masjid Al-Iman buat kali kedua dipenjara 8 bulan

Masjid Al-Iman di Bukit Panjang. (Gambar: Google Maps)

SINGAPURA: Meskipun dia sudah dipenjara kerana mencuri wang dari sebuah masjid di Bukit Panjang, Harmudin Bahar mencerobohi masjid yang sama pada April untuk mencuri lebih banyak wang tunai.

Apabila lelaki berusia 62 tahun itu ditangkap oleh pembantu eksekutif operasi Masjid Al-Iman, dia mendakwa sedang berdepan dengan masalah kewangan dan mengembalikan S$16 yang diambil dari kotak derma tersebut.

Gara-gara rasa simpati, pekerja masjid itu membenarkan Harmudin pergi dan memberinya sedikit wangnya sendiri, serta membawanya ke sebuah balai rakyat.

Pada Khamis (15 Ogos), Harmudin, yang tidak mempunyai sebarang kewarganegaraan, dihukum penjara selama lapan bulan selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan memecah masuk.

Pada 2015, Harmudin dipenjara selepas dia memecah masuk masjid yang sama dengan seorang lagi lelaki dan mencuri wang sejumlah S$1,945 dalam tempoh tiga minggu.

APA YANG BERLAKU

Menurut kertas mahkamah, Harmudin memutuskan untuk mencuri wang dari kotak-kotak derma di Masjid Al-Iman pada 8 Mei lalu.

Memandangkan dia pernah mencuri dari masjid berkenaan, dia tahu susun atur masjid tersebut dan bahawa ia biasanya kosong apabila ia ditutup.

Kira-kira pukul 11.27 malam, dia memanjat pagar dan memasuki masjid berkenaan.

Untuk mengelak daripada dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut, Harmudin menanggalkan kemejanya semata-mata untuk menutup mukanya.

Dia kemudian memasuki dewan solat wanita dan memakai sehelai abaya, yang ditemuinya untuk menyamar.

Menggunakan alat dawai yang diubah suai dari penyangkut pakaian dan beberapa pita pelekat yang dibawanya, Harmudin mencuri wang S$16 daripada tiga kotak derma di masjid itu.

Sementara itu, pembantu eksekutif operasi masjid tersebut baru sahaja selesai melakukan tugasnya, termasuk mengunci semua pintu masuk.

Sedang dia pergi untuk menunaikan solatnya, kakitangan tersebut ternampak Harmudin cuba mengambil wang tunai dari salah satu kotak derma itu.

Kakitangan terbabit pun bersemuka dengan Harmudin, yang merayu untuk melepaskannya memandangkan dia mendakwa sedang dibelenggu masalah kewangan.

Kasihan akan nasib Harmudin, kakitangan itu melepaskannya selepas mengambil gambar kad pengenalan Harmudin. Kakitangan itu juga memberi Harmudin wangnya sendiri sebanyak S$15, lalu membawanya ke sebuah balai rakyat.

Menurut kertas mahkamah, kakitangan tersebut menceritakan insiden itu beberapa hari kemudian kepada pengurus pentadbiran masjid tersebut, yang membuat laporan polis.

Sesiapa yang didapati bersalah memecah masuk boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita