Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki bipolar mengaku salah bogel di tempat awam, tunggang motosikal dalam video tular

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki bipolar mengaku salah bogel di tempat awam, tunggang motosikal dalam video tular

Tangkap layar rakaman di media sosial

Diterbitkan : 11 Mar 2022 01:17PM Dikemas Kini : 11 Mar 2022 01:19PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang ditangkap dalam keadaan bogel di beberapa tempat awam pada tahun lalu mengalami kecelaruan bipolar.

Mahkamah daerah diberitahu demikian, semasa dia membuat pengakuan bersalah hari ini (11 Mac).

Yeo Qi Wei dirakam menerusi satu video dan dilihat memanjat ke atas sebuah kereta ketika bogel dan juga menunggang motosikal ketika bogel di sebuah jalan berhampiran masjid di Eunos. Gambar dan rakaman berkenaan tular di media sosial.

Yeo, yang merupakan seorang warga Singapura, mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Lain (Ketenteraman Awam dan Gangguan) selepas berbogel di tempat awam, serta satu lagi tuduhan jenayah pencerobohan.

Lagi empat tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman pada bulan Mei.

Hakim Daerah, Kessler Soh, meminta laporan untuk menilai sama ada dia sesuai bagi perintah rawatan mandatori (MTO).

Yeo mempunyai sejarah mengalami kecelaruan bipolar menurut pakar psikiatri Institut Kesihatan Mental (IMH). Beliau juga menyatakan bahawa ia ada kaitan besar dengan kesalahan yang dilakukan oleh Yeo.

Gangguan mental itu bercirikan perubahan 'mood' yang teruk, dengan individu mengalami episod mania dan kemurungan yang berulang.

TIDAK PAKAI PELITUP DAN TOPI KELADAR MOTOSIKAL

Mahkamah mendapati pada 10 Jun tahun lalu, seorang pemandu kereta sewa privet sedang duduk di dalam kenderaan beliau di sebuah tempat meletak kereta terbuka di Blok 212, Lorong 8 Toa Payoh pada pukul 5.40 pagi.

Beliau kemudian melihat Yeo yang hanya memakai seluar dalam mendekati kenderaan beliau. Yeo kemudian menanggalkan seluar dalamnya dan memanjat ke atas kereta tersebut.

Pemandu kenderaan itu keluar dan berdepan dengan Yeo, namun dia tidak memberikan respons. Dia kemudian turun daripada kereta tersebut.

Yeo meninggalkan seluar dalamnya di atas kereta itu dan berjalan di kawasan berkenaan dan menunggang sebuah motosikal ketika masih bogel.

Dokumen-dokumen mahkamah juga mendedahkan bahawa Yeo melanggar peraturan COVID-19 kerana dia tidak memakai pelitup dan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikalnya.

Sehari sebelum kejadian itu, Yeo masuk secara paksa ke dalam sebuah ruang kerja bersama di pusat beli-belah Singapura di Dhoby Ghaut.

Yeo dirakam melalui CCTV dan dilihat sedang memaksa pintu dibuka, menyambungkan komputer ribanya ke televisyen dan menonton sesuatu untuk seketika. Dia kemudian meninggalkan premis itu sebelum pegawai polis tiba.

SUDAH PERGI DAPATKAN RAWATAN DI IMH: PEGUAM

Timbalan Pendakwa Raya, Jordon Li, memberitahu mahkamah bahawa laporan MTO akan menjadi pilihan terbaik kerana Yeo "muda" dan "mengalami masalah mental".

Semasa mengemukakan rayuan, peguam bela Yeo, Encik Andy daripada Eldan Law berdasarkan laporan IMH, menyatakan bahawa pakar psikiatri menjelaskan bahawa "insiden itu berkaitan dengan episod mania"

Yeo sudah mendapatkan rawatan psikiatri sebelum melakukan kesalahan dan dia tahu ada yang tidak kena, jelas peguam bela.

Dia sudah menjalani rawatan di IMH sejak sembilan bulan lalu dan dosnya sudah dikurangkan sebanyak dua kali.

Yeo juga sudah berjaya menamatkan ijazahnya dalam bidang perbankan dan kewangan serta lulus daripada universiti, kata peguam itu.

Mereka yang sabit kesalahan berbogel di tempat awam boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan